21
Sun, Jul
28 Artikel Baru

Peranan dakwah PAS

Pimpinan
Typography

ADAPUN situasi berdepan dengan sebuah pemerintahan yang tidak melaksanakan sistem pemerintahan Islam, PAS akan terus berjuang, berdakwah dan berperanan untuk memastikan Islam dapat didaulatkan.

a) Peranan Dakwah Satu: memberi nasihat dan bimbingan secara berterusan, bagaimana Islam itu boleh dilaksanakan dalam sistem pemerintahan dan pentadbiran negara.

b) Peranan Dakwah Dua: berjuang menegakkan syariat (amar makruf) dalam apa jua kesempatan dan ruang yang boleh dilakukan oleh PAS pada tahap keupayaan yang dimiliki.

c) Peranan Dakwah Tiga: menegur, mengkritik, membantah dan mencegah kemungkaran (nahi mungkar) dan menentang kezaliman yang berlaku sama ada dalam aspek sosial, ekonomi mahupun politik.

Sekalipun kemungkaran itu dilakukan oleh pemerintah, PAS tegas menyatakan kebenaran. Beramal dengan hadis Nabi saw. yang dikeluarkan oleh Imam Tirmizi Rhm:

أَفْضَلُ الْجِهَادِ كَلِمَةُ عَدْلٍ عِنْدَ سُلْطَانٍ جَائِرٍ

"Jihad yang paling afdhal ialah berkata benar dihadapan pemimpin yang zalim."

d) Peranan Dakwah Empat: menggerak agenda perubahan total (at-taghyir) ke arah mendaulatkan syariat Allah swt. secara berterusan.

Terutama apabila PAS berdepan dengan sebuah pemerintahan yang degil dan enggan melaksanakan Islam malah memusuhi Islam.

PAS akan terus berdakwah bagi menyedarkan masyarakat dan memimpin kebangkitan mereka ke arah sebuah perubahan yang menepati manhaj perjuangan an-Nabawi.

PAS Senantiasa Bersama Islam

Dasar perjuangan PAS ialah Islam. Kepentingan politik PAS terhenti di atas Islam yang diperjuangkan demi mencari keredhaan Allah swt. Kaedah Matlamat Menghalalkan Cara ditolak oleh PAS.

Meskipun PAS berjuang bersungguh-sungguh supaya menang, namun kalah menang dalam perjuangan ini, PAS tetap memilih untuk bersama Islam.

Memerintah bersama Islam, ke Putrajaya bersama Islam, malah kalah sekalipun PAS tidak akan meninggalkan Islam semata-mata untuk mencongak jalan mudah ke mercu kuasa.

Prinsip dan sikap ini dibina di atas tunjuk ajar Nabi saw. dari Muaz Ibnu Jabal Rha : (dikeluarkan oleh Al Imam At Tabarani dalam Mu'jam Al Kabir)

أَلَا إِنَّ رَحَى الْإِسْلَامِ دَائِرَةٌ ، فَدُورُوا مَعَ الْكِتَابِ حَيْثُ دَارَ ، أَلَا إِنَّ الْكِتَابَ وَالسُّلْطَانَ سَيَفْتَرِقَانِ ، فَلَا تُفَارِقُوا الْكِتَابَ ، أَلَا إِنَّهُ سَيَكُونُ عَلَيْكُمْ أُمَرَاءُ يَقْضُونَ لِأَنْفُسِهِمْ مَا لَا يَقْضُونَ لَكُمْ ، إِنْ عَصَيْتُمُوهُمْ قَتَلُوكُمْ ، وَإِنْ أَطَعْتُمُوهُمْ أَضَلُّوكُمْ ) .
قَالُوا: يَا رَسُولَ اللهِ ، كَيْفَ نَصْنَعُ ؟
قَالَ: ( كَمَا صَنَعَ أَصْحَابُ عِيسَى ابْنِ مَرْيَمَ ، نُشِرُوا بِالْمَنَاشِيرَ ، وَحُمِلُوا عَلَى الْخَشَبِ ، مَوْتٌ فِي طَاعَةِ اللهِ خَيْرٌ مِنْ حَيَاةٍ فِي مَعْصِيَةِ اللهِ ) .

Ketahuilah bahawa roda Islam itu berputar maka senantiasalah bersama al Kitab (al Islam) sekir-kira dimana kedudukannya. Ketahuilah sesungguhnya al Kitab (al Islam) dan pemerintah akan berpisah, maka jangan sekali-kali kamu memisahkan diri dari al Kitab. Ketahuilah sesungguhnya akan berlaku pemerintah yang berkuasa ke atas kamu memutuskan suatu keputusan yang berpihak kepada mereka. Suatu keputusan yang tidak memihak kepada kamu. Jika kamu ingkari mereka, mereka akan bunuh kamu. Jika kamu taati mereka, mereka akan menyesatkan kamu. Mereka (sahabat) bertanya: Ya Rasulullah, jika kami berdepan dengan pemimpin begini, apa yang patut kami lakukan? Jawab Nabi saw: Jadilah seperti sahabat Nabi Isa ibn Maryam as. Jasad mereka digergaji dan dipaku gantung pada palang kayu. Mati dalam keadaan taat kepada Allah swt adalah jauh lebih baik dari hidup tetapi derhaka kepada Allah swt. (At Tabarani)

Dakwah PAS berterusan dan mensasarkan semua pihak. Madu'u PAS (sasaran dakwah) bukan musuh PAS. PAS tidak memusuhi individu sebaliknya PAS memusuhi kepercayaan dan pegangan yang bercanggah dan menentang Islam.

Peranan dakwah PAS secara umumnya saling tidak tumpah dengan peranan doktor yang bekerja keras untuk menyelamatkan pesakit dan membebaskan pesakit dari penyakit yang memudaratkan.

Doktor tidak pernah memusuhi pesakitnya dan da'i (pendakwah) tidak pernah memusuhi madu'unya (sasaran dakwah).

PAS untuk semua dan berjuang menegakkan keadilan untuk semua.

Islam Memimpin Perpaduan

NASRUDIN HASSAN
Pengerusi Lajnah Dakwah PAS Pusat
5 Zul Qaedah 1440 | 8 Julai 2019 – HARAKAHDAILY 8/7/2019