21
Sun, Jul
28 Artikel Baru

Politik Perpaduan Islam: Muktamar PAS melakar hala tuju

Pimpinan
Typography

MUKTAMAR Tahunan PAS yang telah berlangsung sebanyak 64 kali telah menjadi medan terbesar dalam menggariskan hala tuju perjuangan PAS berasaskan perkembangan politik semasa. Dengan berdasarkan al-Quran dan Sunnah sebagai rujukan tertinggi serta dipandu oleh Majlis Syura Ulamak PAS, maka Muktamar Tahunan PAS adalah syura tertinggi di dalam PAS untuk memutuskan apa sahaja dasar dan hala tuju parti. Ahli-ahli dan pimpinan PAS diberikan hak bersuara, bermuhasabah, mengangkat pandangan-pandangan konkrit dalam membina kekuatan parti dan memutuskan semua perkara berkait dengan PAS melalui muktamar ini.

Sepanjang sejarah PAS selama 68 tahun, asas dasar dan rangka hala tuju PAS adalah digariskan oleh Yang Dipertua Agung atau Presidennya di dalam ucapan tahunan yang dikenali sebagai Ucapan Dasar Presiden PAS. Para Presiden PAS akan menjadikan Ucapan Dasar ini sebagai panduan dalam menggariskan hala tuju pergerakan PAS selama setahun. Para Presiden PAS akan menyampaikan sendiri Ucapan Dasar ini atau diwakili oleh Timbalan Presiden PAS atau Pemangku Presiden PAS. Namun begitu, pada peringkat awal, empat Presiden PAS yang terawal iaitu Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan (1951-1953), Dr Haji Abbas Alias (1953-1956), Prof Dr Burhanuddin Mohd Noor al-Helmy (1956-1969) dan Dato' Mohd Asri Haji Muda (1969-1974) telah menyampaikan Ucapan-ucapan Dasar tanpa sebarang tema, hanya disebut sebagai Ucapan Yang Dipertua Agung PAS sahaja.

Dari Matlamat Perpaduan Kita ke Islam Memimpin Perpaduan

Semenjak 1975, Yang Dipertua Agung PAS yang juga Menteri Tanah dan Tugas-tugas Khas telah memperkenalkan tema dalam Ucapan Dasarnya. Dalam Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Ke-21 di Dewan Seminar, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur pada 29-30 Julai 1975, Dato' Mohd Asri Haji Muda telah menjadikan "Matlamat Perpaduan Kita" sebagai tema Ucapan Dasar PAS sesuai dengan usaha perpaduan nasional yang diterokai oleh PAS bersama Barisan Nasional (BN) yang ditubuhkan pada 1 Jun 1974 dalam memulihkan kestabilan politik negara pasca 13 Mei 1969. Perpecahan bangsa Melayu Islam dan krisis perkauman yang tercetus telah memberikan pelajaran besar kepada PAS, lalu menggariskan langkah-langkah perpaduan dalam pengukuhan semula ini.

Setelah 44 tahun berlalu, Pilihan Raya Umum Kali Ke-14 pada 2018 telah memperlihatkan keruntuhan kuasa politik Melayu Islam akibat perpecahan bangsa Melayu. Menyedari kelemahan tersebut perlu ditangani segera, PAS telah mengambil langkah menyatukan semula kekuatan umat dengan pendekataan taawun politik. Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang telah menjadi "Islam Memimpin Perpaduan" sebagai tema Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-65 di Stadium Tertutup SUKPA, Indera Mahkota, Kuantan pada 21-23 Jun 2019. Melalui ucapan dasar ini, Presiden PAS telah menggariskan langkah-langkah perpaduan untuk mengembalikan kekuatan politik ummah dengan berpandukan Islam. Sebagaimana perpaduan yang dibina pada 1974 telah berjaya mengembalikan kekuatan politik Melayu Islam, kini Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-65 cuba melakarkan semula perpaduan ummah yang dipimpin oleh Islam.

Tema-tema Ucapan Dasar PAS

Yang Dipertua Agung PAS, Dato' Mohd Asri Haji Muda (1975-1982); Yang Dipertua PAS Pusat, Ustaz Haji Yusof Abdullah ar-Rawi (1982-1989); Presiden PAS, Ustaz Dato' Haji Fadzil Mohd Noor (1989-2002) dan Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang (2002-2019) telah menyampaikan Ucapan Dasar masing-masing dengan tema-tema hala tuju perjuangan PAS semasa. Kecuali Ucapan Dasar PAS 1982 yang disampai oleh Dato' Mohd Asri Haji Muda yang tidak digariskan temanya, semua ucapan yang lain adalah berasaskan tema-tema perjuangan PAS. Berikut adalah tema-tema Ucapan Dasar PAS sepanjang 44 tahun muktamarnya sejak 1975 hingga 2019:

1975: Matlamat Perpaduan Kita

1976: Sikap Kita Sekarang

1977: Survival Ummat

1978: Ke Arah Kemenangan

1979: Tiga Wajah Cabaran

1980: Qurun Hijrah Ke-15 : Antara Harapan dan Cabaran

1981: PAS Dari Dekad Ke Dekad

1982: Tiada tema. Teks ucapan yang diterbitkan kemudiannya diberikan judul Ukhuwah Bukan ‘Adawah

1983: Ke Arah Pembebasan Ummah

1984: Menggempur Pemikiran ‘Asabiyyah

1985: Bertindak Menentang Kezaliman

1986: Teguhkan Jamaah Teruskan Jihad

1987: Ke Arah Tajdid Hadhari

1988: Bertekad Membulatkan Jama’ah

1989: Membina Ketahanan Ummah

1990: Maju Bersama Islam

1991: Bersatu Menegakkan Islam

1992: Meroboh Rangkaian Penindas

1993: Pertahankan Syakhsiyyah Ummah

1994: Ulama Teras Kepemimpinan Ummah

1995: Menyanggah Fikrah Maddiyyah

1996: Tegakkan Ketuanan Islam

1997: Bersiap Menghadapi Cabaran

1998: Bertekad Mencapai Kemenangan

1999: Bersama Menegakkan Keadilan

2000: PAS Memimpin Perpaduan

2001: Menyanggah Serangan Menjana Kemenangan

2002: Memantap Iltizam Menyemarakkan Kebangkitan

2003: Menuju Kemenangan

2004: Memartabatkan Kedaulatan Rakyat

2005: Paksi Kebangkitan Perjuangan

2006: Pulihkan Demokrasi, Daulatkan Islam

2007: Selamatkan Demokrasi, Tegakkan Keadilan

2008: PAS Untuk Semua

2009: Islam Memimpin Perubahan

2010: Islam Adil Untuk Semua

2011: Membangun Negara Berkebajikan

2012: Negara Berkebajikan Teras Perpaduan

2013: Rahmat Untuk Semua

2014: Terus Beristiqamah

2015: Beristiqamah Hingga Kemenangan

2016: Inilah Penyelesaian Kita

2017: Sejahtera Bersama Islam

2018: Islam Memimpin

2019: Islam Memimpin Perpaduan

Mohd Fadli Ghani
Head
House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
17 Syawal 1440 / 21 Jun 2019 – HARAKAHDAILY 22/6/2019