24
Tue, Sep
22 Artikel Baru

DBP: Tempat utama Muktamar PAS 1970-an, 1980-an

Pimpinan
Typography

KEMAJUAN dan pertumbuhan pesat PAS telah menyebabkan berlakunya pertambahan ahli dan cawangan PAS sepanjang dekad 1960-an. Hal ini telah mendesak PAS untuk mendapatkan tempat persidangan yang lebih besar dan selesa bagi menampung jumlah perwakilannya yang semakin bertambah. Dalam suasana PAS dan Perikatan (Umno, MCA dan MIC) sedang berunding untuk menubuhkan Kerajaan Campuran PAS-Perikatan pasca 13 Mei 1969, PAS telah memilih untuk menjadikan Dewan Seminar di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Jalan Lapangan Terbang, Sungai Besi, Kuala Lumpur sebagai lokasi baru muktamarnya mulai 1971.

Fadli2Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Ke-17 pada 18-20 Jun 1971 adalah muktamar yang pertama diadakan di Dewan Seminar DBP, yang kini dikenali sebagai Dewan Syed Nasir. Setelah itu, mesyuarat agung tahunan kali ke-18 hingga 22 (1972-1976) semuanya berlangsung di sini, bahkan sehingga 1985 (kecuali 1984 di Kedah) juga dihoskan oleh DBP. Sepanjang tempoh ini juga, PAS mengadakan tiga muktamar khas di dewan yang sama iaitu pada 1972 (isu pembentukan kerajaan campuran), 1978 (isu PAS ditendang daripada BN) dan 1980 (isu kezaliman ISA selepas demonstrasi padi).

Muktamar Tahunan PAS 1977-1986

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) adalah sebuah badan berkanun yang asalnya ditubuhkan oleh para pejuang bahasa sebagai Balai Pustaka pada 22 Jun 1956 yang berpusat di Johor Bahru. Salah seorang tokoh penting yang terlibat ialah Prof Zulkifli Mohamad, Timbalan Yang Dipertua Agung PAS. Dalam Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Ketiga di Singapura pada 16-21 September 1956, ia diberikan nama baru, iaitu Dewan Bahasa dan Pustaka. Pada 1957, ia berpindah ke Kuala Lumpur, beroperasi di Jalan Young, sebelum dinaik taraf sebagai badan berkanun pada 1959 melalui Ordinan Dewan Bahasa dan Pustaka 1959. Pada 31 Januari 1962, DBP berpindah ke premis tetapnya di Jalan Lapangan Terbang, Sungai Besi iaitu tempat terletaknya Dewan Seminar DBP yang menjadi tempat muktamar PAS sejak 1961.

Berikut adalah muktamar-muktamar PAS sepanjang dekad 1970-an dan 1980-an yang berlangsung di DBP:

1) Muktamar Tahunan PAS Ke-23 di Dewan Seminar, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur pada 23-25 Julai 1977 / 6-8 Syaaban 1397

2) Muktamar Tahunan PAS Ke-24 di Dewan Seminar, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur pada 25-27 November 1978 / 25-27 Zulhijjah 1398

3) Muktamar Tahunan PAS Ke-25 di Dewan Seminar, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur pada 7-9 September 1979 / 14-16 Syawal 1399

4) Muktamar Tahunan PAS Ke-26 di Dewan Seminar, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur pada 26-28 September 1980 / 17-19 Zulkaedah 1400

5) Muktamar Tahunan PAS Ke-27 di Dewan Seminar, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur pada 17-19 April 1981 / 12-14 Jamadil Akhir 1401

6) Muktamar Tahunan PAS Ke-28 di Dewan Seminar, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur pada 23-24 Oktober 1982 / 6-7 Muharram 1403

7) Muktamar Tahunan PAS Ke-29 di Dewan Seminar, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur pada 29 April-1 Mei 1983 / 16-18 Rejab 1403

8) Muktamar Tahunan PAS Ke-30 di Dewan Persatuan India Kedah (KIA) Alor Setar pada 13-15 April 1984 / 12-14 Rejab 1404

9) Muktamar Tahunan PAS Ke-31 di DBP, Kuala Lumpur pada 13-15 April 1985 / 22-24 Rejab 1405

10) Muktamar Tahunan PAS Ke-32 di Masjid Rusila, Marang, Terengganu pada 26-28 September 1986 / 21-23 Muharram 1407

Setelah lebih 10 tahun (1971-1985) PAS bermuktamar di DBP, kecuali 1984, PAS mula mengambil langkah politik yang lebih selamat ekoran ketegangan politik dekad 1980-an. DBP adalah hak milik kerajaan di bawah Kementerian Pelajaran, sedangkan selepas Pilihan Raya Umum 1982, hubungan PAS-Umno sangat tegang. Bermula dengan isu Debat Umno-PAS pada 1984 hinggalah membawa kepada Peristiwa Memali pada akhir 1985, semuanya meletakkan PAS dalam keadaan berjaga. Akhirnya, pada 1986, Muktamar Tahunan PAS dikeluarkan dari DBP dan Terengganu menjadi hos untuk pertama kali dengan Masjid Rusila, Marang menjadi tuan rumah muktamar kali ke-32 pads 26-28 September 1986.

Sejak PAS meninggalkan DBP, langkah PAS mendirikan Markaz Tarbiyah PAS Pusat di Taman Melewar, Batu Caves sejak 1985 telah membuahkan hasil. Pada awal 1987, Pejabat Agung PAS telah dipindah ke sana dari Jalan Pahang Barat, Kuala Lumpur. PAS kemudiannya memutuskan supaya Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-33 diadakan di sini pada 10-12 April 1987. Inilah kali pertama PAS bermuktamar di markaznya sendiri dan kali pertama ia diadakan di Taman Melewar.

MOHD FADLI GHANI
Head House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS – HARAKAHDAILY 19/6/2019