24
Tue, Sep
22 Artikel Baru

Muktamar: Dahulu dikenali Mesyuarat Agung Tahunan PAS

Pimpinan
Typography

SEMENJAK PAS mengadakan Mesyuarat Agung Tahunannya buat kali yang pertama pada 3 Januari 1953, PAS telah berjaya menganjurkan persidangan tahunannya setiap tahun sehingga 1976. Kecuali pada beberapa kes, terutama pada 1963, 1967-1968 dan 1969-1971, pada asasnya setiap tahun PAS bermuktamar. Sepanjang tempoh 25 tahun antara 1951 hingga 1976, PAS telah berjaya menganjurkan sebanyak 21 kali muktamar tahunannya, yang melibatkan 22 muktamar. Pada awalnya, muktamar PAS diadakan di pondok-pondok sehingga 1955, kemudian diadakan di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, Kuala Lumpur antara 1956 hingga 1961. Setelah itu, PAS mengambil strategi bermuktamar di negeri-negeri iaitu Kedah (1962), Melaka (1963), Selangor (1964), Kelantan (1965), Perak (1966) dan Perlis (1968). Terengganu dirancang sebagai tuan rumah pada 1967, tetapi terpaksa ditangguhkan. Selepas itu, mulai 1971 hingga 1976, PAS bermuktamar di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur.

Fadli2Sepanjang tempoh 25 tahun ini, sebenarnya PAS belum lagi menggunakan istilah muktamar untuk persidangan tahunannya, sebaliknya menggunakan istilah "Mesyuarat Agung Tahunan PAS" seperti yang diperuntukkan oleh Undang-undang Tubuh PAS 1951. Dalam Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Ke-22 pada 5-6 Ogos 1976, Perlembagaan PAS (Pindaan) 1973 telah dipinda dengan menukar istilah "Mesyuarat Agung Tahunan PAS" kepada "Muktamar Tahunan PAS." Apabila Pendaftar Pertubuhan (RoS) meluluskan Perlembagaan PAS (Pindaan) 1977 pada 21 Jun 1977, Jawatankuasa Kerja Agung PAS telah menetapkan bahawa Mesyuarat Agung Tahunan PAS Ke-23 pada 23-25 Julai 1977 dikenali sebagai Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-23.

Mesyuarat Agung Tahun PAS 1951-1976

Secara umumnya, untuk 25 tahun pertama, PAS telah mengadakan 22 muktamar dalam 21 majlis, seperti berikut:

1) Mesyuarat Agung Tahunan PAS Pertama di Madrasah Ad-Daariat al-Maarif al-Wathaniah, Kepala Batas, Seberang Perai pada 3 Januari 1953 / 16 Rabiul Akhir 1372;

2) Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kedua di Madrasatul al-Ulum As-Syar’iyyah, Batu 20 Bagan Datoh, Perak pada 26-28 Ogos 1953 / 15-17 Zulhijjah 1372;

3) Mesyuarat Agung Tahunan PAS Ketiga di Madrasah At-Tahzib Ad-Diiniyyah, Titi Serong, Parit Buntar, Perak pada 12-14 Ogos 1954 / 12-14 Zulhijjah 1373;

4) Mesyuarat Agung Tahunan PAS Keempat di Madrasah Ahmadiyyah, Bunut Payung, Kota Baharu pada 26-28 Disember 1955 / 11-13 Jamadil Awal 1375;

5) Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kelima di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur pada 23-25 Disember 1956 / 20-22 Jamadil Awal 1376;

6) Mesyuarat Agung Tahunan PAS Keenam di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur pada 24-25 Ogos 1957 / 27-28 Muharram 1377;

7) Mesyuarat Agung Tahunan PAS Ketujuh di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur pada 25-27 Disember 1958 / 13-15 Jamadil Akhir 1378;

8) Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kelapan di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur pada 26-28 Disember 1959 / 25-27 Jamadil Akhir 1379;

9) Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kesembilan di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur pada 11-13 Februari 1961 / 24-26 Syaaban 1380;

10) Mesyuarat Agung Tahunan PAS Ke-10 di Bangunan Persatuan Guru-guru Se-Kedah, Sg Korok, Alor Setar pada 5-6 Januari 1962 / 28-29 Rejab 1381;

11) Mesyuarat Agung Tahunan PAS Ke-11 di Dewan Kesatuan Syarikat Guru-guru Melayu Melaka, No 78B, Jln Munsyi Abdullah (New Come Road), Bandar Melaka pada 31 Disember 1962 - 2 Januari 1963 / 4-6 Syaaban 1382;

12) Mesyuarat Agung Tahunan PAS Ke-12 di Bangunan Persatuan Guru-guru Melayu Selangor, Jalan Raja Muda, Kuala Lumpur pada 21-23 Ogos 1964 / 12-14 Rabiul Akhir 1384 (Perasmian di Stadium Chin Woo, Kuala Lumpur);

13) Mesyuarat Agung Tahunan PAS Ke-13 di Dewan Zulkiflee Mohammad, Bangunan PAS Kelantan, Jalan Dato’ Pati, Kota Baharu pada 20-21 April 1965 / 18-19 Zulhijjah 1384;

14) Mesyuarat Agung Tahunan PAS Ke-14 di Bangunan YMHA, Jalan Stesen, Taiping, Perak pada 12-14 Ogos 1966 / 24-26 Rabiul Akhir 1386;

15) Mesyuarat Agung Tahunan PAS Ke-15 dan Ke-16 di Dewan PAS Cawangan Kayang, Kuala Perlis, Perlis pada 19-22 April 1968 / 20-23 Muharram 1388 (Perasmian di Bangunan Kelab Hokkien, Kangar);

16) Mesyuarat Agung Tahunan PAS Ke-17 di Dewan Seminar, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur pada 18-20 Jun 1971 / 23-25 Rabiul Akhir 1391;

17) Mesyuarat Agung Tahunan PAS Ke-18 di Dewan Seminar, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur pada 28-29 Julai 1972 / 17-18 Jamadil Akhir 1392;

18) Mesyuarat Agung Tahunan PAS Ke-19 di Dewan Seminar, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur pada 21-23 September 1973 / 23-25 Syaaban 1393;

19) Mesyuarat Agung Tahunan PAS Ke-20 di Dewan Seminar, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur pada 13-15 Jun 1974 / 22-24 Jamadil Awal 1394;

20) Mesyuarat Agung Tahunan PAS Ke-21 di Dewan Seminar, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur pada 29-30 Julai 1975 / 20-21 Rejab 1395; dan

21) Mesyuarat Agung Tahunan PAS Ke-22 di Dewan Seminar, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur pada 4-6 Ogos 1976 / 8-10 Syaaban 1396.

MOHD FADLI GHANI
Head House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS – HARAKAHDAILY 16/6/2019