Orang Putrajaya mati dalam PAS

Kolumnis
Typography

HUJUNG Disember saya dimaklumkan Haji Muhammad Hassan, ahli PAS yang istiqamah dari Putrajaya diserang angin ahmar dan keadaannya tenat. Maka awal tahun baru ini dia meninggal. Jasawan PAS pertama di Wilayah Persekutuan mati tahun 2019.

Jenuh saya hendak memastikan yang mana satu Muhammad Hassan. Saya dimaklumkan ia adalah ‘kembar’ Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man. Wajah mereka seiras dan sama tinggi, usia lebih kurang. Masih saya tidak terbayang.

Rupanya dalam dua bulan ini Almarhum begitu rapat dengan saya. Beberapa kali mesyuarat persiapan Seminar Sejarah PAS, dia hadir bersama isterinya. Almarhum wakil Assabiqun Putrajaya, isterinya Ketua Assabiqat Putrajaya.

Kedua-duanya tidak pernah tinggal mesyuarat. PAS mesyuarat paling cepat pukul 10 malam. Pukul 12.00 belum tentu ditangguhkan. Bayangkan pukul berapa mereka tiba dari Putrajaya mesyuarat di Taman Melewar. Tetapi dia hadir.

Saya pergi diambil, balik dihantar. Pernah dia menawarkan untuk menghantar saya balik ke rumah. Demikianlah akrab dan dekatnya dengan saya tetapi payah hendak mengingatnya. Saya pilu Almarhum tidak sempat mengikuti Seminar Sejarah PAS pada 19 Januari ini sedang sumbangannya untuk seminar itu amat besar.

Saya tiba di Masjid Kampung Limau Manis, pinggir Putrajaya ketika solat jenazah hendak dimulakan. Untung saya ada wuduk. Saya terus di celah ratusan jamaah yang baru hendak takbir. Separuh masjid itu penuh. Saya di saf kelima. Di belakang beberapa saf lagi. Satu saf saya kira 60 hingga 70 orang. Paling kurang 500 yang menunaikan fardu kifayah itu.

Selepas itu Bendahari PAS Pusat pula mengimamkan sekali lagi. Lepas itu yang baru tiba solat sekali lagi.

Moga-moga bahagialah jenazah jasawan PAS itu. Bahagianya, sebagai Ketua Assabiqun Putrajaya beliau aktivis di peringkat cawangan dan kawasan. Istiqamah dan dapat mati dalam PAS. Ramai mati tetapi tidak semua mati dalam PAS terutama menjelang dan selepas PRU14. Allah memilihnya jadi orang PAS dan memilihnya mati dalam PAS.

Ketika ramai seangkatannya tercicir daripada PAS, Almarhum tidak berganjak dan tidak makan pujuk supaya meninggalkan PAS. Rupanya dia hendak meninggal dalam PAS. Sebagai aktivis dan pimpinan peringkat pertengahan, jenazahnya disolatkan oleh ramai.

Moga-moga, entah ramai mana pula malaikat bersama dalam solat itu.

Saya ucap takziah kepada keluarganya dan sahabat sesama PAS setempat atas pemergiannya. Dan saya sampaikan tahniah kepada keluarganya kerana Allah memilihnya mati dalam PAS dan berdoa supaya yang bersama PAS dan yang bakal menyertai PAS, moga-moga matikan sekalian dalam PAS. Amin!

Tidak mati dalam PAS mati dalam Islam juga. Mati dalam Islam itu adalah sebaik-baik mati. Tetapi mati dalam jamaah Islam adalah lebih baik. Islam adalah lebih baik daripada tidak Islam, tetapi Islam sahaja tidak memadai. Hendaklah masing-masing bersama jamaah Islam.

Terkeluar daripada jamaah Islam adalah seperti biri-biri yang terpisah dari kumpulan ternakan, bila-bila masa boleh dibaham serigala.

PAS adalah mata rantai jamaah itu, diakui harakah Islamiah sedunia. Sebagai jamaah haraki ia berdakwah dan berpolitik. Banyak jamaah dakwah tetapi tidak berpolitik. Banyak jamaah politik tetapi tidak berdakwah.

Islam agama diterima di sisi Allah. Ia ad-din, tidak memisahkan politik daripada agama. Yang memisahkan politik daripada agama adalah sekular. Jika dakwah menjauhi politik, ditakuti termasuk lubuk sekular. Maka tiada ruginya mati dalam PAS.