27
Thu, Jun
17 Artikel Baru

Saya kurang tahu PAS Shahnon

Kolumnis
Typography

SAYA terima WhatsApp daripada Mohamad Lukman dari Sik moga-moga dapat membekalkannya maklumat tenang penglibatan Sasterawan Negara Dato’ Shahnon Ahmad dalam PAS.

Saya tidak banyak maklumat mengenainya tetapi saya tidak mahu mengecewakan hajatnya.

Yang banyak tahu tentunya orang lama PAS Kedah khususnya PAS Sik sendiri, kerana Shahnon pernah sepenggal jadi Ahli Parlimen (MP) PAS Sik.

Saya mula tahu dia orang PAS apabila Almarhum Ustaz Fadzil Noor sebagai Presiden PAS menjelang PRU masa itu menyebut untuk menimbangnya menjadi calon di Sik. Namanya masyhur dalam kalangan penyokong PAS Kedah dan jika dia dicalonkan harapan menangnya cerah.

Apa penglibatannya dalam PAS saya tidak tahu. Saya acap ke Kedah termasuk beberapa kali ke Sik. Saya tidak pernah terserempak dengannya dalam majlis PAS kecuali sekali apabila naik pentas PAS ketika hampir pasti dia dicalonkan.

Betapa dia cenderung pada politik Islam dan dakwah dapat saya cium lama sebelum saya menyertai PAS.

Saya mengetahuinya seorang sasterawan penting tanah air disamakan oleh Perdana Menteri, Tun Razak dengan Victor Hugo, pujangga Perancis yang handal apabila menobatkannya sebagai Sasterawan Negara yang pertama awal 70-an.

Orang kata dia dekat dengan Arqam. Saya pernah melihatnya berserban seperti orang Arqam semasa menyertai forum Ulama Silam, siri kegiatan Fakulti Islam UKM. Dia bercakap tentang Islam malam itu. Ketika menjawab satu soalan tentang PAS, jawabnya sekalipun PAS banyak kelemahannya, tetapi ia adalah wadah Islam terbaik masa itu.

Saya selalu terserempak dengannya tetapi tidak pernah berbual rapat dengannya. Satu hari di awal penubuhan ABIM, dia minta saya menumpangkannya ke pejabat ABIM di Dewan Masyarakat Kampung Baru, Kuala Lumpur. Buat apa ke situ? Untuk menyampaikan sumbangan kepada gerakan belia Islam itu.

Mungkin dia mencari wadah Islam yang sesuai seperti Salman al-Farisi, meniti satu agama ke satu agama, akhirnya menemui Islam. Sebagai profesor dia mengetuai Pusat Islam USM. Apa kegiatannya saya tidak pasti.

Ia diketahui sebagai kaki buku, banyak masanya membaca lembar demi lembar kitab-kitab tebalnya. Jika tidak membaca, dia berkarya. TIdak diketahui bila dia bergaul dengan orang ramai seperti para aktvis PAS.

Tempatnya di Pulau Pinang dan Kedah. Saya di Kuala Lumpur. Jarang kami bersama.

Dan dia ketahui orang PAS sesudah dia layak jadi Assabiqun iaitu usia bersara dan tidak cergas bergerak kencang. Dalam usia demikian dia jadi MP. Kerancakan sebagai pendebat di Parliman sudah kurang tambahan pula dia asma, tidak tahan hawa dingin di Parlimen. Kehadirannya terhad.

MP yang mesti bermula muda. Jika dia berlebihan, orang kira anak muda mesti begitu. Bila kita bermula tua kita tidak boleh jadi macam budak. Jika orang tua bercakap macam budak, orang kata orang tua tidak sedar dia tua, jadi macam budak juga. Bila kita bercakap sebagai orang tua, orang kita sudah hilang bisa.

Jika MP bermula muda, bila dia kurang garang semasa tua, orang terima dia sudah tua.

Shahnon masuk Parlimen masa usia yang tidak betul. Dan mula bergiat dalam PAS, masa setengah aktivis PAS mula melepaskan jawatan cergas.

Apapun kegiatannya semasa muda dan sihat, tetapi masa tua dan tidak sihatnya adalah bersama Islam.

Moga-moga saya sudah memenuhi sebahagian daripada yang dicari oleh Mohamad Lukman, anak Sik tentang penglibatan PAS MPnya satu masa dahulu. – HARAKAHDAILY 3/1/2019