27
Thu, Jun
17 Artikel Baru

Jumaat malam pertama Tun Abdullah di kubur

Kolumnis
Typography

SAYA menziarahinya di wad Institut Jantung Negara (IJN) petang Selasa. Dia tidur dengan dawai-dawai di badannya. Bahasa orang sekarang keadaannya koma. Bahasa akhiratnya nazak dan sakratul maut. Saya bisik ke telinganya akan siapa saya. Melafazkan kalimah Lailaha illallah

Ikut ilmu perubatan dia dengar tetapi tidak membalas. Demikian juga ahli kubur, dengar kata orang atas kubur tetapi tidak menjawab. Moga-moga dia lafaz kalimah tauhid itu sebagai cakap terakhirnya.

Pagi Khamis saya terima mesej dia sudah pergi dalam usia kurang lapan seratus tahun. Reaksi saya, dia dapat Jumaat malam pertamanya di alam kubur. Kata orang, pengalaman malam Jumaat adalah baik. Moga-moga dan mudah-mudahan dilimpahi bahagia di sana. Amin.

Itulah Almarhum Tun Abdullah Ayub, kelahiran Sungai Parit, Pasir Panjang Laut, Sitiawan, kampung yang diterokai dua panglima Pasir Salak yang lepas daripada buruan British berikutan pembunuhan JWW Birch. Sekalian penduduk di situ adalah keturunan dua waris atau kerabat Datuk Maharajalela, penentang penjajah.

Almarhum adalah mantan Ketua Setiausaha Negara zaman Tun Razak, dua pupu bonda saya dan kerabat terdekat bapa saya. Tubuh saya mengalir darah kedua-dua pelarian Pasir Salak itu, Uda Bakti dan Itam Tiat.

Zaman remajanya dia Ketua API Dindings – Manjung sekarang. Tetamu hidang mempelainya ialah Pak Sako dan Ahmad Boestamam. Siswa bersama Dr Mahathir di Universiti Malaya Singapura, bersama Aminudin Baki dan Tun Siti Hasmah Ali mengasaskan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS).

Dia minta biografi saya Anak Apak yang banyak menyebut namanya lapan tahun lalu. Bila saya menziarahinya tiga tahun lalu, dia menghadiah saya biografinya. Biografinya kaya dengan sejarah dan perkembangan politik dan kerajaan sebelum dan selepas merdeka sejak tahun 1953, pegawai pembantu penting Tunku dan Tun menangani urusan kemerdekaan dan pembentukan Malaysia.

Sayangnya ia sekadar memapar detik dan peristiwa. Jika saya dengannya semasa sama-sama segar dahulu boleh duduk bersama, menganalisis dan menyingkap setiap politik dan sejarah yang dialaminya, nescaya ia dapat meninggalkan satu warisan untuk semua.

Antara yang disebutnya, Perdana Menteri Tun Razak bercadang untuk merangkap menteri kewangan. Nasihatnya, jangan! Jika Perdana Menteri menjadi menteri kewangan, payah bagi yang lain untuk memberi pandangan kedua.

Tun Razak sukar mencari ganti menteri kewangan sehebat Tun Tan Siew Sin. Tun minta siapa? Sebagai orang kaya pengalaman dalam Perbendaharaan dicadangkannya Encik Hussein Onn. Apa dia tahu tentang kewangan, balasnya.

Mereka, pegawai-pegawai boleh membantunya. Tun lantik Hussein jadi menteri kewangan.

Detik pahit baginya sebagai awam cemerlang. Sebagai calon Ketua Setiausaha Negara (KSN) dua tahun lagi, Tun Razak menamakannya sebagai Naib Canselor baru Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menggantikan Dr Ariffin Marzuki. Sekalian profesor dan pelajar membantah hingga diungkit keluarganya dan takwil perkhidmatannya. Pada hal dia terlibat dalam pembangunan Universiti Malaya, UKM dan lain-lain kampus. Alasan mereka dia menentang penubuhan UKM.

Hujahnya Universiti Malaya itu patut dijadikan Universiti Kebangsaan. Bukan setelah gagal menjadikan universiti nasional, kerajaan lari dan membentuk universiti lain. Atas demo itu dia menolak pelantikan itu.

Katanya pada saya, dua tahu dipastikan dia jadi KSN. Jika kemahuan PM ditolak, payah juga. Tapi bila dia dicercah, dia tiada pilihan. Lepas itu kerajaan mengangkat orang lain jadi KSN. Lama kemudian barulah dia diangkat.

Abdullah Badawi kecewa dengan tindakan kampus. Katanya pada saya, kerajaan berdepan masalah membangunkan universiti dan kampus baru UKM. Bukan senang mendapatkan bajet kerajaan. Jika orang kuat Perbendaharaan jadi Naib Canselor, senang baginya mendapat peruntukan.

Bila semua tahu dia bakal KSN, semua sedia menawar diri untuk menjadi pengajar di UKM.

Itulah Abang Dolah. – HARAKAHDAILY 27/12/2018