27
Thu, Jun
17 Artikel Baru

Yadim bukan eksperimen makan gaji politik

Kolumnis
Typography

JIKA ditakdirkan PAS berkuasa ia juga mungkin tawarkan mana-mana jasawan partinya untuk jadi Pengerusi Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) bagi mengepalai gerakan dakwah seperti biasa sejak ia diwujudkan kerajaan awal 70-an dulu.

Sejak itu biasanya orang kanan Umnolah yang mengisi jawatan penting itu yang dikira menjalankan kerja CEO bagi syarikat besar atau agensi kerajaan.

Semasa PAS menyertai kerajaan campuran Perikatan-PAS tahun 1973, Datuk Hassan Adli, Timbalan Yang Dipertua Agung PAS menjadi Timbalan Pengerusinya. Bila beliau jadi menteri, Ustaz Hassan Shukri, Setiasuaha Agung PAS jadi gantinya.

Prinsip awalnya ia merangkum kerja-kerja dakwah yang dimainkan oleh NGO dakwah yang bergerak bersendirian. Tetapi badan-badan dakwah itu tidak pernah menjadi sebahagian daripada Yadim, bahkan masing-masing terus bergiat mengikut saluran pilihan mereka.

Yadim dengan pegawai-pegawainya memilih apa yang penting dan wajar yang dimainkan oleh badan-badan dakwah sebagai kerja-kerja kerajaan. Dahulu dakwah itu jadi tumpuan kerajaan. Bila ada Yadim, ia mengambil tugas pendakwah dan setengah daripada kerja Pusat Islam.

Jika Pusat Islam rasa kerajaannya, Yadim kerajaan juga tetapi tidak terikat seketat badan kerajaan. Ada kelonggarannya walaupun ia hak milik kerajaan juga.

Justeru jawatan utama Yadim itu ada politiknya, maka pemilihannya tidak ikut sepenuhnya disiplin badan totok kerajaan. Ia jadi tempat simpanan jasawan politik dan parti yang tidak jadi ahli kerajaan. Ia pekerjaan bagi yang tidak bekerja dan tidak berjawatan, dan sebagai pegawai kontrak, ia seperti pegawai percubaan dan sementara, tidak tertentu kemahiran dan kepakaran bidang dan kecekapannya.

Sedang dakwah adalah satu bidang yang penting yang memerlukan kemahiran bekerja, keupayaan merancang. Sebagaimana CEO Khazanah mesti memikir dan merancang membesar dan memajukan empayar dan pasaran produknya, panglima memikirkan strategi keselamatan dan perkakasan pertahanannya, maka CEO Yadim mesti merangka strategi dan sasaran mad’unya.

Ia bukan tempat makan gaji untuk tempoh kontraknya, tetapi sekalian penduduk adalah sasarannya, bukan sekadar menyampai mesej dakwah kepada bukan Islam bahkan menghalang jahiliah dari kalangan Islam mengembang fikiran jahiliahnya.

Dengan separuh abad kewujudannya, sepatutnya sebahagian ramai umat Islam sekarang adalah saudara baru. Kalaupun tidak sepesat pencapaian Sultan Melaka dalam waku yang singkat sekalian kafir Melayu jadi Islam belaka, maka Yadim ada sasaran saudara barunya bagi satu-satu tahun.

Dengan segala kemudahan dan bantuan daripada kerajaan, ia sepatut dilihat lebih ke depan dari Perkim atau sekurang-kurang seri dengan Perkim.

Mungkin menutup aurat wanita Islam satu kerajaan Yadim, tetapi guru dan murid Yayasan Anda kelolaan ABIM sudah bertudung sebelum Yadim wujud.

Jika memperkenalkan dakwah kepada bukan Islam satu tugas yang sulit, mendakwah orang Islam tentu tidak sesulit bergerak dalam kalangan bukan Islam. Tetapi jika tidak pernah dengan Islam liberal dan floral sebelum ini, budak Melayu rambut berwarna jadi ikutan setiap keluarga.

Maka pengambilan CEO Yadim tidak wajar lagi untuk memberi gaji kepada jasawan politik yang tidak berjawatan, tetapi Yadim memerlukan pakar dan perancang dakwah yang kaya pengalaman merancang dan mentadbir.

Mencuba orang politik tiba-tiba jadi CEO adalah cara lama yang usang. Malaysia Baharu mesti menjadikan Yadimnya baharu juga, bukan jadi tempat pegawai percubaan. - HARAKAHDAILY 24/12/2018