19
Mon, Aug
21 Artikel Baru

Menunggu nama bertuah

Kolumnis
Typography

MASING-masing sudah tidak sabar menunggu nama bertuah yang PAS dan Umno muafakat keduanya kandung sekarang. Tidak sempat bayi dilahirkan macam-macam nama sudah diberi.
      
subkyBanyak yang menamakan Pasno dan Nopas. Nama-nama itu ada relevennya dengan kedua buah parti itu iaitu Umno dan PAS, apa lagi dengan hubungan mereka yang pesat dan amat rapat sekarang.
      
Dua nama itu disingkat dan dirangkumkan jadi Pasno atau Nopas seperti yang Sukarno pernah buat di hujung kekuasaannya dulu. Dirangkumnya nama kumpulan terbesar dan saling berpengaruh nasionalis, agama dan komunis menjadi satu iaitu Nasakom. ‘Nas’ dari nasionlis, ‘A’ dari agama dan ‘Kom’ dari komunis.
      
Ketika hendak menyelesaikan krisis Ganyang Malaysia oleh Indonesia dan Filipina atas projek Gagasan Malaysia dalam sidang puncak antara Sukarno, Presiden Macapagal dari Filipina dan Tunku Abdul Rahman Putra di Manila. Sukarno mencadangkan pembentukan negara konfiderasi antara tiga wilayah itu dengan nama Maphilindo, ‘Ma’ bagi Malaysia, ‘Phil’ bagi Filipina dan ‘Indo’ bagi Indonesia.
      
Mereka bersetuju. Sebulan kemudian berbalah semula Maphilindo jadi asap dan angin.
      
Begitu juga seniman P. Ramlee dirangkumnya ayat kumpulan gitar rancak menjadi kalimah kugiran dan panggung wayang gambar menjadi pawagam hingga istilah itu terpakai hingga sekarang.
     
Tetapi kedua-dua parti Melayu itu dipercayai kata, NO akan nama Pasno dan Nopas itu bukan kerana kalimah itu tiada dalam kamus dan tidak diketahui maknanya, ia kata yang asing bagi mereka sekarang.
      
Asingnya kerana ia  tidak disebut orang. Tetapi apabila dinama demikian dimasyhurkan nescaya sekelip mata popular di seluruh dunia. Macam Umno. Ia bukan dari lidah orang Melayu. Tapi kerana Dato’ Onn yang jadi bIdannya dia namakan Umno orang pun guna Umno. Dan ada orang Melayu menamakan terjemahannya Pekembar, tetapi bahasa tidak berdaulat seperti Inggeris maka tiada yang yang tahu apa itu Pekembar.
     
Justeru jari tidak bermata dan buta berbagai nama dinamai media sosial seperti Penyatuan Ummah, Umat Bersatu, Gagasan Sejahtera dan lain-lain.  Tapi popularnya Nopas dan Pasno.
      
Kerana taawun itu belum bernama, maka ada pendukungnya bimbang orang masing-masing terkeliru dan dikeliru oleh berbagai cadangan itu. Maka digesa mereka agar disegerakan penamaannya, moga-moga ia segera masyhur dan popular bagi menghadapi PRU15. Orang ini tidak sabar lagi.
      
Apa yang hendak diburu sangat? Tidak siapa yang akan keliru. Bayi belum lahir. Rata-rata orang Melayu tunggu bayi lahir dulu, setelah sah jantan betinanya baru mereka cari nama. Ada yang sampai sepuluh hari kerana banyaknya nama lalu tak tahu pilih.
     
Walaupun Nabi Ishak dan Yaakub sudah dinamakan sebelum mereka dikandung ibu masing-masing dan Allah menamakan Yahya bagi anak Nabi Zakaria seperti yang Jibril maklumkan kepada Nabi Zakaria dan isterinya mereka akan beroleh anak tetapi kebanyakan dapat anak dulu baru diberi nama.
     
Tidak menamakan apa-apa bagi taawun PAS-Umno mungkin banyak untungnya. Ia akan diteka nama itu dan ini setiap hari. Dengan orang meneka nama seperti Wilayah Bertuah dan lain-lain akan menyebabkan hal itu diberitakan setiap hari. Gagasan itu akan hidup terus dalan tekaan orang ramai. Lagi ramai yang meneka maka lagi masyhur dan diperkata orang tentang kelahirannya.
     
Cuma nama itu diperlukan bersama simbol baru supaya cukup masa bagi menyediakan poster dan pekerja memasangnya di sana sini. – HARAKAHDAILY 10/8/2019