26
Fri, Apr
12 Artikel Baru

Izzah tak lawan parti ayah, emak

Kolumnis
Typography

SIKIT demi sikit Nurun Izzah, MP Permatang Pauh mendedahkan gerangan dia menjarak diri dari politik aktif dalam parti dan kerajaan yang ditegak emak bapanya.

Antaranya tidak senang dengan politik di kalangan partinya, kecewa dengan upaya kerajaan sokongannya mengisi kemenangan, meluat dengan diktator dan bengkalai reformasi yang diperjuangkan.

Lebih jelas lagi ialah tafsiran bapanya, Dato’ Seri Anwar Ibrahim akan tindakan Izzah itu. Tafsiran itu boleh dikira sebahagian besar dari pengundurannya.

Pengundurannya itu setakat ini tinggal anggota Parlimen Permatang Pauh. Sikap itu mulanya dirasakan langkah sementera dan bila suasana molek dia akan kembali cergas.

Tetapi sekarang dia sudah menyatakan tidak bertanding lagi setamatnya penggal sekarang, logiknya sekalipun ayahnya Perdana Menteri dan selama bondanya Timbalan Perdana Meneri.

Sehingga PRU15 nanti dia adalah back bencher kerajaan bonda dan parti ayah bondanya. Tidak dipasikan dia nyaring atau pasif sehingga akhir.

Boleh kita anggap dia kecewa dengan politik dan parti yang disertainya selepas ayahnya dibebaskan dari segala fitnah dan membilang bintang di langit menunggu giliran menjadi Perdana Menteri.

Ayahnya dulu tinggal satu anak tangga jadi Perdana Menteri, malangnya terhalang. Ayah itu dikira tinggal satu anak tangga lagi untuk jadi Perdana Menteri tiba-tiba Izzah bertindak meninggalkan politik yang aktif.

Bermati-mati dia sekeluarga membela ayahnya yang disingkir dari politik dan parti perdana untuk jadi Perdana Menteri melalui sistemnya sendiri. PKR adalah parti ayah dan dilancar penubuhannya oleh bondanya. Orang tidak kata ia parti Anwar sekeluarga sekalipun anak beranak jadi orang nombor satu, nombor dua dan nombar empat yang tunggu masa boleh jadi nombor tiga.

Jika orang tolak parti itu bukan kerana parti keluarga tapi orang tolak dia.

Kita tidak tahu dalam keadaan apa Izzah boleh kembali ke politik penting atau tiada lagi politik baginya?

Yang baik bagi Izzah, dia kecewa dan mungkin sampai putus asa, tapi dia tidak serang partinya dan belum menentang kerajaan gabungannya seperti yang ayahnya buat terhadap parti pertamanya dulu.

Bagi setengah orang apabila kecewa dengan partinya, penuh masa ditegak dan perjuangannya, termasuk yang berjuang atas nama Islam, bukan sekadar parti itu dikacaunya, bahkan tubuh parti baru, seolah-oleh mereka tidak pernah ada dan terlibat dalam parti itu sebelumnya.

Mungkin Izzah tidak sehebat Datuk Onn yang bila kemahuannya ditolak oleh Umno, ia tentang Umno dan tubuh parti baru. Bahkan Mahathir dan Muhyidin putus asa dengan Umno, mereka tubuh parti lawan Umno.

Izzah belum kacau lagi parti ayah dan bondanya, dia baru sekadar tinggalkan semua yang diamanahkan kepadanya. Dalam keadaan orang tidak nampak dia ditakwil, dia tidak puas hati dengan pencapaian parti dan kerajaan yang ditegakkannya, dia memilih membawa diri, tidak ganggu ayah dan bondanya teruskan pimpinan, tidak halang ayahnya hendak dijadikan Perdana Menteri.

Memadai dia bersama keluarga dan penyokong ayahnya berjaya bebaskan ayah dari tohmah dan mehnah.

Setakat ini kedua ibu bapanya belum dapat isi reformasi dan apakah selepas bebas penjara ia dapat diisi? Atau ia tidak terdaya diisi selama-lamanya seperti komunis tidak dapat isi perjuangan komunis di mana-mana.

Reformasi itu apa? Apa fekahnya dan syarat sah dan batalnya? Jika Islam itu sempurna fekah dan dinnya, apakah reformasi itu lebih syumul dari lslam? - HARAKAHDAILY 1/4/2019