26
Fri, Apr
12 Artikel Baru

Jangan gembira Malaysia tidak terbunuh

Kolumnis
Typography

SEBAGAIMANA kita tidak minta dua masjid di New Zealand dibedil pengganas semasa fardu Jumaat 15 Mac lalu kita minta ada orang Malaysia antara 49 yang terbunuh.

Syukur kita terlepas dari pembunuhan tetapi Malaysia jangan gembira tiada yang terbunuh sedang umat Islam dan manusia jadi mangsa dalam tragedi itu.

Paling malang orang kita cedera – berat atau sebaliknya. Ia ringan dibanding dengan yang terbunuh. Sekalipun derita yang cedera terasa pedihnya, sedang yang terbunuh di situ sudah habis pedihnya di dunia. Tetapi keluarga yang terbunuh lebih pilunya dari keluarga yang cedera. Maka pada keadaan tertentu, derita yang cedera dan keluarganya ringan dari yang terbunuh.

Apapun tragedi mereka itu berlaku ketika datang menunaikan solat Jumaat, maka besar bagi mereka. Yang gugur tentulah syahid, yang cedera moga-moga pahalanya setingkat di bawah yang syahid. Yang terlepas, tidak gugur dan tidak cedera, pengalaman cemas yang berlaku itu tentunya beroleh ganjaran yang besar juga.

Jika yang tercucuk duri ada pahala dan terampun sebahagian dosa, maka serangan semasa beribadat, di masjid dan hari Jumaat pula dan di negeri orang bukan Islam tentulah ganjaran syafaat dan pahalanya berganda untuk semua.

Yang terjadi itu adalah bagi mengalami pengalaman yang dilalui oleh para Assabiqun dan Awalun di zaman Nabi SAW dulu. Ia tidak mematikan kewujudan Islam, bahkan cabaran dan ujian memarakkan obor Islam yang bangkit di merata-rata. Pengalaman seperti itulah yang menghidupkan Islam dulu.

Islam jangan putus asa atas semua tragedi, serangan dan penindasan termasuk yang terbaru di New Zealand itu. Tangani dan teruskan dakwah seperti yang ditunjukkan lebih setengah abad lalu.

Apa yang terjadi di New Zealand adalah lanjutan anti dan musuh terhadap Islam. Yang disasar adalah penganut Islam. Kerana mereka memilih jadi Islam dan memilih bertuhankan Allah. Tiadalah salahnya menjadi Islam dan tiadalah salahnya memilih Allah sebagai Tuhan dan menyembah-Nya.

Sebagai Islam dan bertuhankan Allah, mereka adalah manusia. Dengan membunuh Islam dan mereka yang bertuhanakan Allah, maka mereka juga sudah bunuh manusia. Membunuh manusia kerana anutannya adalah sejahat-jahat jenayah. Jika anjing bertuan dicegah bunuh, mana ada lesen membunuh manusia yang berTuhan semata-mata kerana menjadikan Allah tuhannya?

Membunuh manusia besar jahatnya. Membunuh Islam lagi besar jahatanya, membunuh orang memilih Allah sebagai Tuhan bertambah berat jahatnya.

Tamadun barat dulu dan sekarang kempen memansuhkan hukuman bunuh. Yang membunuhpun tidak boleh dihukum bunuh. Tetapi tiada kempen barat supaya jangan bunuh Islam dan memilih Allah sebagai Tuhan hingga di kalangannya memilih menjadi pengganas bagi membunuh Islam. Bahkan ia seperti dibenarkan.

Sang pengganas New Zeland itu mencabar pejuang barat apakah mereka wajar dihukum bunuh kerana membunuh orang solat Jumaat?

Tiada yang di barat itu menghalalkan kejadian di New Zealand, tetapi pengaruh fobia Islam masing-masing tidak dicegah dalam masyarakat dan cara berfikir, maka pengganas di kalangannya rasa bebas menyerang Islam yang mereka sudah difahamkan Islam itu ganas.

Sedang dalam sejarahnya tiada gereja dan kuil di wilayah Islam diserang semasa mengamalkan kepercayaan masing-masing, apa lagi dalam masa aman.

Insya-Allah Islam akan waspada supaya tiada penganutnya membalas dendam.

Mangsa New Zealand itu dipercayai dipilih Allah mendapat bahagia di alam Jannah. Dalam duka ada suka. – HARAKAHDAILY 19/3/2019