Anwar terharu kembali ke Parlimen
Irwan Muhammad Zain
Fri | Aug 29, 08 | 10:06:54 am MYT

KUALA LUMPUR,29 Ogos (Hrkh) -Penasihat KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim mengucapkan rasa syukur dan terharu kerana dapat kembali ke Dewan Rakyat setelah sepuluh tahun dinafikan haknya untuk aktif berpolitik.

Iklan
 
 
   

Anwar yang selesai mengangkat sumpah sebagai ahli Parlimen Permatang Pauh pada jam 10.03 minit pagi semalam di depan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

"Sejak saya disingkir sepuluh tahun yang lalu dengan cara yang zalim, seluruh jentera Umno dan Barisan Nasional (BN) hingga kini berusaha dengan cara yang jahat untuk menghalang saya menduduki kerusi ini," kata beliau ketika mengadakan sidang media di lobi Parlimen selepas mengangkat sumpah.

Beliau menegaskan bahawa pengundi Permatang Pauh telah menunjukkan kematangan mereka biarpun jentera kerajaan yang diketuai oleh Perdana Menteri dan timbalannya bersungguh-sungguh mahu karier politiknya ditamatkan.

Ahli Parlimen Permatang Pauh itu juga menegaskan bahawa beliau berhasrat menjadikan Parlimen sebagai gelanggang yang benar-benar berfungsi untuk menyuarakan tuntutan rakyat.

"Kami Pakatan Rakyat akan menjadikan Parlimen berfungsi dengan cara yang betul dan akan memastikan suara atau tuntutan rakyat akan didengar di sini," ujar beliau.

Beliau juga menyuarakan rasa kesal dengan tindakan BN yang menggunakan media untuk menyerang peribadi beliau ketika kempen pilihan raya kecil Permatang Pauh yang lalu.

"Setiap hari RTM dan TV3 menyerang peribadi saya dan selepas saya menang pun mereka masih tetap cuba untuk memburukkan imej saya," ujar beliau.

Namun tegas beliau, segala usaha jahat BN itu tidak berjaya mempengaruhi pengundi Permatang Pauh dimana bukan sekadar sokongan dari kaum Cina dan India yang tinggi tetapi sokongan pengundi Melayu juga melebihi dari sokongan yang diperolehi oleh isterinya pada 8 Mac lalu.

Kempen BN yang mengambarkan beliau sebagai pengkhianat Melayu tidak dapat membantu mereka untuk mengurangkan majoriti atau memenangi pilihan raya kecil itu sebaliknya ia telah memakan diri sendiri dimana kemenangan dengan majoriti yang lebih besar diperolehinya.

Beliau juga menegaskan bahawa keputusan pilihan raya kecil Permatang Pauh itu menunjukkan bahawa sokongan rakyat terhadap BN semakin berkurangan dan ini menambahkan keyakinan bahawa kerajaan baru bakal dibentuk dalam tempoh yang terdekat.

"Perdana Menteri sudah hilang mandat dari rakyat dan timbalannya yang mengetuai kempen juga telah ditolak oleh rakyat," kata Anwar.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu menjelaskan bahawa kehadiran beliau di parlimen hanya untuk membahaskan soal-soal polisi BN yang membebankan rakyat dan tidak akan sekali-kali menyerang peribadi pemimpin Umno.

"Biar mereka sahaja yang melakukan perkara yang kotor dan jijik itu, saya hanya akan berbahas tentang polisi yang kita lihat membebankan rakyat," tegas beliau.

Mengulas mengenai projek 16 September, Anwar menjelaskan bahawa rancangan itu masih diteruskan dan ianya masih berada dilandasannya dan ahli parlimen dari BN akan menyertai Pakatan Rakyat dalam masa yang terdekat.

Anwar turut kesal dengan tindakan RTM yang membatalkan siaran secara langsung majlis mengangkat sumpah beliau selaku ahli parlimen.

"Saya diberitahu ada arahan agar siaran terus menerus menerusi RTM hanya dimulakan selepas saya mengangkat sumpah," kata beliau lagi.

Penasihat KeADILan itu kembali menjadi ahli parlimen setelah memenangi kerusi parlimen Permatang Pauh dengan majoriti 15,671 undi 26 Ogos lalu. Beliau mendapat 31,195 undi, mengalahkan calon BN, Dato' Arif Shah Omar Shah yang memperolehi 15,524 undi. Hanafi Mamat dari Angkatan Keadilan Insan Malaysia (Akim) mendapat 92 undi dan hilang wang pertaruhan.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan peletakan jawatan ahli parlimennya, Presiden KeADILan, Dato' Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada 31 Julai lalu bagi memberi laluan kepada suaminya itu bertanding di situ.

Dalam pilihan raya umum Mac lalu, Dr Wan Azizah menewaskan calon BN, Dato' Pirdaus Ismail dengan majoriti 13,398 undi. Parlimen Permatang Pauh dikuasai KeADILan sejak pilihanraya umum 1999 dan sebelum itu dimenangi Anwar atas tiket BN sejak 1982.

Anwar, yang juga mantan timbalan perdana menteri dilucutkan dari jawatan dalam kerajaan pada tahun 1998, berhubung dakwaan penyalahgunaan kuasa dan liwat. - mks. _

 

 
  Iklan Teks
 

Iklan Di sini. Hanya RM150 seminggu