Raja Petra kesal TMNet sekat akses ke Malaysia Today
Harakahdaily
Wed | Aug 27, 08 | 3:13:31 pm MYT

KUALA LUMPUR, 27 Ogos (Hrkh) - Pengendali laman web Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin kesal dengan pihak tertentu di TMNet kerana menyekat akses ke laman beliau sejak jam 6 petang semalam.

Iklan
 
 
   

Beliau yang dalam perjalanan dari Permatang Pauh ke ibu negara menghubungi Harakahdaily bagi menyatakan kekesalan dan bantahan beliau terhadap pengurusan TMNet kerana menghalang kebebasan bersuara dalam negara.

"Kami telah maklumkan kepada pelayar Malaysia Today bahawa kami akan mengemaskinikan laman setiap masa dan akan menyiarkan keputusan Pilihan Raya Kecil Permatang Pauh seawal jam enam petang.

"Sebaik sahaja tiba waktu tersebut, akses laman kami disekat, pelayar Malaysia Today yang menggunakan talian lain, serta dari luar negara dapat mengakses laman kami," ujarnya.

Katanya, semua pengguna streamix sejak petang semalam disekat dan setelah siasatan teknikal dibuat, akses ke laman web beliau memang sengaja disekat sebagai suatu sabotaj untuk menghalang maklumat yang tepat dan cepat.

Oleh itu katanya, pelayar yang menggunakan streamix tidak dapat mengakses laman web beliau, sehingga beliau terpaksa mengubah laman tersebut ke tempat lain iaitu di http://mt.harapanmalaysia.com/2008/.

Sekatan itu katanya, menyebabkan beliau tidak dapat mengemaskini pada waktu yang tepat.

"Saya terpaksa menghubungi rakan di luar negara dan menghantar bahan-bahan untuk dikemaskinikan daripada sana," ujarnya.-mr_

 

 
  Iklan Teks
 

Iklan Di sini. Hanya RM150 seminggu