| Antara pelacur, Bernama dan Batu Buruk |
|
Lifeboat
Wed | Sep 12, 07 | 5:21:27 pm MYT |
|||||||
|
Tidak perlu saya membincangkan perihal insiden September Hitam di Batu Buruk Terangganu. Hal itu telah banyak diperkatakan – dari punca kejadian sehinggalah cara pihak polis menangani insiden akibat daripada provasi yang mereka sendiri mulakan setelah mendapat arahan pihak tertentu.
Dalam laporan awalnya mengenai insiden berkenaan, agensi berita nasional, Bernama dan Utusan Melayu telah melaporkan insiden berkenaan dengan memilih perkataan dan rangkai kata: “pengikut parti pembangkang.” Perkataan ‘pengikut’ jika diteliti dalam konteks ini seolah-olah membawa niat jahat (malicious). Biasanya apabila perkataan ‘pengikut’ digunakan, ia lazimnya bermaksud ‘pengikut’ sesebuah organisasi atau kumpulan yang haram atau tidak sah di sisi undang atau malah ajaran sesat. Misalnya, ‘pengikut ajaran sesat’. Penulis laporan ini boleh memilih untuk menggunakan perkataan ‘penyokong’ kerana itu adalah perkataan paling tepat untuk merujuk kepada mereka yang menyokong sesebuah parti politik berdaftar dan tanpa adanya unsur tersirat di sebalik tersurat. Konotasi negatif Tidak mustahil penulis laporan berkenaan menggunakan perkataan ‘pengikut’ yang membawa konotasi negatif supaya dalam waktu yang sama ia menunjukkan kepada pembaca dan rakyat betapa apa yang diikuti, dalam kes ini, parti PAS, selaku parti pembangkang ketara serta parti KeADILan, DAP dan NGO yang secara bersama menganjurkan BERSIH sebagai organisasi dan kumpulan jahat yang sepatutnya tidak diikuti oleh rakyat Malaysia. Kita boleh memahami sekiranya cara pemberitaan, laporan dan pemilihan perkataan yang tampak seolah-olah berniat jahat ini digunakan oleh akhbar-akhbar arus perdana yang menjadi organ tidak rasmi parti pemerintah. Tetapi apabila agensi berita kerajaan turut terpengaruh dan bersekongkol dengan penyelewangan seperti itu, natijahnya ia semakin berlepas diri dari menjadi sebuah agensi berita berwibawa dan authoratif. Itu baru mengenai pemilihan perkataan dan cara ayat dibina dan belum lagi diambil kira, laporan yang berat sebelah, berita yang tidak lengkap dan laporan yang berdasarkan semata-mata imaginasi pemberita. Dalam insiden di Batu Buruk misalnya, bagaimanakah wartawan atau pemberita agensi berkenaan mengesahkan bahawa yang dituduh sebagai merusuh itu sebenarnya penyokong parti pembangkang? Apakah wartawan turut sama membuat liputan pada malam itu? Bagaimana mereka mengesahkan status yang terlibat itu sebagai ‘pengikut’ parti pembangkang dan bukan sekadar rakyat biasa yang turut sama mahu mendengar ceramah mengenai tuntutan pilihan raya yang adil? Apakah Agensi Berita Nasional juga turut membuat sekadar andaian dalam laporan mereka dan andaian tersebut disebarkan sebagai maklumat sah dan mutakhir? Kita tak perlu hairan sekiranya laporan imaginatif dan menyeleweng ini ditulis oleh pemberita bertaraf ‘cabuk’ yang rata-rata bertugas di akhbar arus perdana, tetapi apabila ia diluluskan sebagai berita nasional oleh pengarang dan editor yang berpendidikan dan terlatih dalam bidang kewartawanan, maka kita terpaksa bertanya apakah pengarang dan editor agensi berita nasional dan akhbar arus perdana Malaysia juga tidak lebih dari merupakan sekumpulan pengarang dan editor cabuk yang mengabaikan profesionalism dan membiarkan diri diperalatkan. Siapa dibaruakan? Sebenarnya hati saya begitu terpanggil untuk menggunakan perkataan ‘dibaruakan’ bagi menggantikan perkataan ‘diperalatkan’ kerana perkataan ‘dibaruakan’ sebenarnya amat tepat digunakan dalam konteks ini. Saya masih berpegang kepada etika penulisan yang tidak biadap walaupun merasakan pelacuran profesionalism kewartanan dan persuratkhabran dianggap lebih jijik oleh apa yang dilakukan oleh pelacur murahan Lorong Haji Taib. Apapun, pelacur termahal sekalipun, dan yang menerima imbuhan hasil pelacuran tubuh badannya, termasuk pelacuran minda adalah manusia yang tidak ada digniti dan harga diri. Bagi saya pemilihan perkataan seperti ‘pengikut parti pembangkang’ atau ‘barua’ ini hanyalah sensasi murahan yang pada perkiraan terakhir tidak akan membantu dalam mencapai matlamat melainkan hanya menimbulkan kesan emosi sementara. Persoalannya kini, apakah pertubuhan berita kebangsaan itu juga sudah menjadi sebahagian daripada organ tidak rasmi parti pemerintah? Apa sudah jadi dengan piagam (charter) yang sepatutnya menjadi teras dan prinsip panduan Bernama? Apakah kita terpaksa menggunakan perkataan ‘kononnya’ bagi merujuk kepada tuntutan piagam berkenaan? Kononnya piagam Bernama mengkehendaki pertubuhan yang diwujudkan di bawah Akta itu membekalkan liputan peristiwa dan aktiviti dengan tepat. Kononnya menurut piagam berkenaan Bernama mendukung prinsip bahawa berita yang disiarkan adalah tepat dan bukannya difabrikasi atau dicipta. Kononnya berita yang disiarkan oleh Bernama lengkap, tidak sekerat-sekerat (impartial) dan tidak berat sebelah terhadap mana-mana pihak. Lalu kita pun bertanya, apakah Bernama juga turut dijangkiti wabak sindrom ‘cakap tak serupa bikin’ yang berpunca dari kandang Umno-BN? Atau apakah Bernama sendiri adalah vector (agen penyebaran) wabak berkenaan? _ |
|||||||