| Batu Buruk: Abang terkejut adik ditembak polis dianggap ‘cuba membunuh’ |
|
Wartawan Kita
Wed | Sep 12, 07 | 3:11:03 pm MYT |
|||||||
|
KOTA BHARU, 12 Sept (Hrkh) – Keluarga pemuda yang ditembak anggota polis menggunakan peluru hidup di Batu Buruk, 8 September lalu terkejut apabila polis menyiasat mangsa di bawah Kanun Keseksaan.
Abang kepada Aswandi Abdul Ghani, Suliadin, 39 berkata, beliau amat terkejut dengan kenyataan dikeluarkan polis di mana adiknya dan seorang lagi pemuda disiasat di bawah seksyen cubaan membunuh.
“Kami hairan bagaimana mangsa yang hanya bertangan kosong mahu pula disiasat di bawah seksyen cubaan membunuh,” katanya ketika dihubungi di Marang, hari ini. Semalam Timbalan Ketua Siasatan Jenayah 1 Terengganu, Supritenden Khairi Ahrasa dilaporkan berkata, kedua-dua mangsa yang berusia 37 dan 21 tahun disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh. Pada kejadian malam 8 September lalu ramai penduduk berhimpun secara aman di Batu Burok sebagai membantah tindakan polis membatalkan permit ceramah anjuran Bersih. Malah, keadaan menjadi celaru apabila pihak berkuasa tempatan merobohkan pentas tempat ceramah dan polis tidak membenarkan penceramah datang menemui tuan rumah tempat ceramah dijadualkan berlangsung. Ekoran keadaan kelam kabut itu seorang anggota polis melepaskan tembakan menggunakan peluru hidup sehingga menembusi dada Aswandi dan bahagian tengkok seorang lagi pemuda. Suliadin juga berkata, keadaan adiknya kini semakin stabil selepas peluru hidup yang menerobos masuk ke dalam dadanya berjaya dikeluarkan pada pembedahan hampir empat jam dilakukan Sabtu lalu. “Semalam dia sudah boleh bercakap secara perlahan-lahan. Doktor tidak mahu dia bercakap banyak dan perlu berehat secukupnya,” kata beliau. Petang semalam, Menteri Besar, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat meluangkan masa melawat Aswandi di wad Kristal Hospital Unversiti Sains Malaysia di Kubang Kerian. Pada kunjungan pertamanya bersama Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan lain-lain pemimpin PAS pada malam Sabtu lalu, mangsa ketika itu sedang menjalani pembedahan bagi mengeluarkan peluru di dalam dadanya. - mj _ |
|||||||