| Paksa tarawih 20 rakaat: Khir Toyo ‘tidak reti’ agama? |
|
Zaini Hashimi
Tue | Sep 04, 07 | 4:39:28 pm MYT |
|||||||
|
Kalau Menteri Besar Selangor, Dato' Seri Mohd Khir Toyo, menyebut bahawa pada bulan Ramadan jangan terlalu banyak bercakap (kurang bercakap) atas sifatnya sebagai seorang doktor gigi, mungkin kita boleh terima, mungkin kerana kalau banyak bercakap di bulan Ramadan boleh menyebabkan kesakitan di gusi atau sebahagian gigi. (Kenyataan Khir disiarkan sebuah akhbar harian 3 September lalu).
Tetapi kalau beliau tetapkan solat Tarawih dengan 20 rakaat dan bukannya lapan rakaat atas sifatnya sebagai seorang bertaraf menteri besar, menunjukkan kekurangannya dalam ilmu agama, bahawa beliau kurang duduk dalam majlis-majlis tazkirah. Ini kerana perkara sunat tidak boleh dipaksa atau ditentukan untuk buat lebih atau kurang, sebenarnya lapan pun tak apa dan 20 rakaat pun tak apa, yang tak bolehnya yang tidak buat langsung, itu pun masih boleh dipertikai, kerana solat Tarawih sifatnya sunat. Sepatutnya Khir nasihatkan, mana-mana orang Islam yang kurang biasa datang ke surau sebelum bulan Ramadan, diharapkan dapat lakukan solat Isyak berjemaah dan kemudian tunggu sebentar kerana digalakkan buat sunat Tarawih, selepas daripada itu ada majlis tazkirah (penerangan) mengenai kelebihan solat Tarawih dan peranannya dalam menjadi Muslim sejati untuk mencapai matlamat berpuasa pada bulan Ramadan iaitu bertakwa kepada Allah seperti dalam ayat 183 surah al-Baqarah. Bagaimana para jemaah yang tidak biasa dengan berjemaah nak faham kalau tidak ada penerangan melalui majlis tazkirah, kerana menurut satu kaedah yang ada dalam “Usul Fiqh”, setiap amal ibadat yang dilakukan tanpa disandarkan atas dasar ilmu dan kefahaman yang mendalam mengenainya, maka amal ibadat itu akan ditolak di sisi Allah. Pernahkah Dr Khir menganjurkan sendiri siri-siri penerangan mengenai perkara yang utama dalam Islam. Tazkirah Ramadan amalan para ulama di bumi al-Azhar Kalau Dr Khir berkesempatan ke bumi al-Azhar (Mesir) pada bulan Ramadan setelah melakukan umrah, 90 peratus masjid melakukan solat Tarawih lapan rakaat diselangi dengan tazkirah, atas alasan kerana umat Islam sering lalai hingga tidak datang ke masjid melainkan pada bulan Ramadan. Tazkirah-tazkirah yang disampaikan amat menyentuh perasaan dan tanggungjawab untuk membangunkan jati Muslim yang sebenar kepada Allah SWT. Begitu juga pada pengamatan penulis, bahawa tazkirah-tazkirah yang disampaikan di masjid-masjid atau surau-surau dalam negara kita tidak kurang hebatnya, kerana dipenuhi dengan peringatan, apa yang penting Dato’ Seri duduk dan mendengar baru boleh buat penilaian, jangan hanya menerima laporan orang tertentu yang mempunyai banyak muslihat. Orang yang tidak suka kepada tazkirah diancam oleh Allah dengan menjadikan hidup mereka dalam keadaan bahaya, dibutakan Allah pada hari akhirat, tidak dapat masuk syurga, sila lihat penjelasan Allah dalam teks Arabnya menerusi ayat 124-127 daripada surah Toha iaitu surah yang ke-20 dalam al-Quran bagi mewujudkan kesedaran dalam diri. Perbanyakkan membaca al-Quran pada bulan Ramadan Kita bersetuju cadangan Dr Khir agar umat Islam memperbanyakkan membaca al-Quran, tetapi tahukah beliau bahawa Allah SWT amat marah kepada orang Islam yang baca al-Quran tetapi cara hidupnya bukan berdasarkan sistem Islam, seperti sistem politik, ekonomi, kemasyarakatan, pendidikan, rumah tangga, persekitaran dan banyak lagi. Peringatan Allah dalam al-Quran berbentuk perkara yang kadang-kadang menyeronokkan orang yang membaca, tidak kurang juga perkara yang menakutkan orang yang membaca, sebagai contoh, Allah sifatkan orang yang membaca al-Quran di kalangan orang Islam boleh bertukar menjadi orang kafir. Apa makna kafir (iaitu golongan penentang kebenaran Allah)? Sedarkah Dato’ Seri bahawa orang-orang Cina, India, Serani, Kadazan, Iban selalu dilabelkan sebagai kafir, sedangkan para ulama menyebut mereka adalah golongan bukan Islam kecuali benar-benar anti-Islam, tetapi ada di kalangan mereka tidak pernah tahupun mengenai Islam kerana kurang diadakan penerangan. Kalau kita merujuk ayat 101 dan 102 menerusi surah ~Ali ‘Imran, Allah berfirman yang bermaksud: “Bagaimana kamu boleh jadi kafir, sedangkan kamu selalu membaca al-Quran atau diperdengarkan al-Quran dan Rasulullah bersama-sama dengan kamu…” Ayat di atas Allah tujukan kepada kita orang Islam yang baca al-Quran hingga Dia bertanya kenapa kita jadi kafir, sebab orang bukan Islam tidak baca al-Quran seperti kita, mengapa jadi kafir, kita juga sering bersama dengan Rasulullah apabila menyambut majlis Maulidur Rasul, Maal Hijrah, Israk Mikraj dan sebagainya, kenapa masih lagi cara hidup kita tidak menepati Sirah baginda Rasulullah s.a.w. Ayat 102 pula Allah mengajak kita supaya tidak selamanya jadi orang beriman, malah menaik-tarafkan diri kita jadi orang yang bertakwa seperti maksud firman-Nya yang bermaksud: “Wahai orang-orang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar takwa, janganlah kamu mati melainkan keadaan diri kamu sebagai orang-orang Islam.” Bagaimana nak bertakwa dan boleh mati dalam Islam, semuanya perlu diberi penerangan/tazkirah yang kiranya satu bulan Ramadan tidak mencukupi, kerana 11 bulan umat Islam lalai, para ulama amat bimbang jika kita yang sudah bernama Islam sukar untuk mati dalam keadaan Islam, kerana ada orang Islam yang membunuh diri, makan rasuah kemudian mati, mati di padang bola, golf dan sebagainya, justeru tazkirah amat diperlukan. Kurangkan pesta makan-minum Sepatutnya seorang Menteri Besar bertanggungjawab untuk memberi tazkirah kepada orang-orang yang di bawah pemerintahannya dengan aspek-aspek agama. Kalau boleh kurangkan pesta bazar makanan yang kebanyakan pengusahanya terlalu letih hingga tidak boleh buat lapan atau 20 rakaat solat Tarawih, sedangkan ia hanya berlaku pada bulan Ramadan sahaja. Tidak kurang juga pesta hiburan keterlaluan khususnya yang disiarkan menerusi TV, perkara itu adalah serius untuk ditangani, malah Dato’ Seri kena beri tahu bahawa para pengacara atau pembaca berita kena hormat bulan Ramadan dengan memakai tudung kepala, kalau itu tidak dapat dilakukan, maka para pemberi tazkirah terpaksa mengingatkan mereka melalui para jemaah dalam slot tazkirah, mana-mana surau yang mengadakan tazkirah sepatutnya diberi sanjungan kerana telah meringankan beban menteri besar yang tidak mampu melakukannya. Inisiatif ulama al-Azhar menganjurkan tazkirah Dalam laporan www. naseej.com bertarikh 11 Julai 2007, menyebut kesungguhan Kementerian Wakaf dengan kerjasama Universiti al-Azhar memilih sejumlah besar para graduan universiti berkenaan yang mahir dalam pelbagai bahasa seperti Sepanyol, Portugis, Inggeris, Belanda, Perancis, Jerman, Urdu, Turki dan Mandarin untuk menjadi dutanya ke luar negara. Mereka dipilih untuk dihantar ke beberapa negara Amerika Latin, Eropah, Afrika dan sebahagian Asia adalah bertujuan untuk menyampaikan tazkirah khusus di bulan Ramadan dan selepas Ramadan. Usaha murni itu telah dilakukan sejak lima tahun lalu dan telah diterima baik khususnya masayarakat di negara-negara Amerika Latin hingga sudah bercambah mereka yang menganut Islam di kalangan remaja lelaki dan perempuan. Ini semua hasil kesungguhan para pendakwah yang memberikan tazkirah, kuliah, ceramah, forum dan sebagainya yang menyedarkan masyarakat di sana yang sudah menebal dengan pegangan Kristian. Persoalannya di sini, adakah umat Islam di Malaysia ini sudah sampai taraf sebaik-baik umat yang dikeluarkan buat umat manusia sejagat hingga tidak lagi terlibat dalam maksiat seperti selebriti yang bercumbu secara terang-terangan, remaja yang bercumbu dan berpelukan pada siang hari di hadapan KLCC seperti dalam laporan sebuah akhbar kompak pada Selasa 4 September 2007. Sama-samalah kita fikirkan untuk keselamatan kita di dunia dan akhirat. – lanh _ |
|||||||