| Ibu tabah jaga 4 anak cacat dapat simpati isteri MB |
|
Salmah Mat Husain
Fri | Aug 10, 07 | 3:51:37 pm MYT |
|||||||
|
TUMPAT, 10 Ogos (Hrkh) – Apa perasaan anda sekiranya ditakdirkan lima daripada sembilan anak yang dikurniakan Allah cacat dari segi fizikal dan mental. Tiada ungkapan yang mampu dilafaz, melainkan tabah dan redha.
Inilah hakikat yang ditempuhi pasangan suami isteri Noraini Ismail dan Mohd Zain Abdullah dari Kampung Kok Keli. Ia sudah menjadi asam garam bagi kehidupan mereka. Lima dari sembilan anaknya menghidap penyakit ‘metapolik’ (ketidakupayaan fizikal dan mental) yang memerlukan penumpuan sepenuh sepanjang masa. Bagaimanapun seorang daripadanya iaitu anak sulung kepada pasangan itu telah meninggal dunia. Dan sekarang tinggal empat anaknya yang mengidap penyakit tersebut iaitu tiga perempuan dan seorang lelaki. Noraini ketika ditemui berkata, bukan sahaja perhatian penuh diberi kepada mereka, sebaliknya memerlukan peruntukan agak besar untuk membeli lampin pakai buang. “Walaupun saya mendapat sumbangan sekitar RM600 sebulan dari orang ramai serta beberapa pihak lain, namun ia masih belum mencukupi,” ujarnya yang mendapat anugerah Fatimah Az-Zahra kategori khas ibu yang cekal sempena sambutan Hari Ibu Peringkat Negeri di sini, baru-baru ini. Hasil kemenangan itu melayakkan beliau menerima wang tunai RM2,000, trofi dan sijil penyertaan yang disampaikan Raja Perempuan Kelantan. Ketabahan Noraini dan suaminya ternyata menyentuh perasaan hadirin yang berada di Dewan Besar Balai Islam ketika biodatanya dibaca. Tidak kurang juga, situasi yang sama meruntun perasaan Menteri Besar, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat kerana ketabahan luar biasa pasangan itu menjaga empat anak istimewa. Dan sehari selepas itu, isteri Menteri Besar, Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak bersama anggota Exco, Abdul Fattah Mahmood, Adun Tanjung Mas, Rohani Ibrahim, Pengarah Urusetia Pembangunan Wanita, Belia dan Sukan, Abdul Aziz Yunus serta isteri Timbalan Menteri Besar, Datin Siti Zubaidah Abdul Hamid mengunjungi rumah Noraini. Pada kunjungan itu, Tuan Sabariah dan anggota rombongan benar-benar tersentuh hati melihat keempat-empat anak Noraini. Pada kesempatan itu beliau memberi kata-kata semangat kepada ibu tersebut agar tabah menjalani kehidupan seharian walaupun diuji dengan kehadiran anak-anak yang tidak sempurna. Tuan Sabariah turut menghulurkan sumbangan wang tunai, hamper dan barangan keperluan harian. Abdul Fattah dan Siti Zubaidah juga memberi sumbangan wang. Kisah penderitaan keluarga Noraini pernah disiarkan dalam rancangan Bersamamu terbitan stesen TV3 yang diketengahkan hasil usaha seorang pemuda kurang upaya Roslan Ismail dari Pulau Seratus. Roslan yang juga hadir di rumah Noraini turut menerima sumbangan wang daripada Tuan Sabariah dan Siti Zubaidah. “Saya begitu terharu di atas keprihatinan isteri Menteri Besar dan pemimpin kerajaan negeri yang cakna terhadap nasib rakyat,” ujarnya. - mj _ |
|||||||