| Lancar jambatan konkrit, putus jambatan kasih |
|
Husam Musa
Fri | Aug 03, 07 | 7:59:45 pm MYT |
|||||||
|
Perdana Menteri berada di Kelantan selama dua hari dengan pelbagai acara 'besar'.
Pagi semalam (Khamis), acara perletakan batu asas Jambatan Kedua Sultan Yahya Petra, setengah kilometer dari Kota Darulnaim, Pejabat MB Kelantan. Sayang, PM tidak sudi menyambung jambatan kasih. Tuan rumah tidak dijemput. Pak Lah masuk Kelantan tanpa salam, tanpa jenguk muka bertanya khabar. Melangkah masuk ke tengah laman tanpa susila Melayu turun temurun, tidak terlintas untuk menghormati tuan rumah. Apa status sekalipun si tuan rumah, salam sepatah tanda berbudi. Mungkin Pak Lah merasa Umno sudah terlalu kuat. Sapa menyapa membuang masa. Tuan rumah boleh dinyahkan bila-bila masa dengan 'power' yang Umno ada. Khemah besar lagi panjang di tapak projek pagi itu diberitakan kosong. (Lihat foto di Harakahdaily) Puas diseru orang ramai memenuhi khemah, khemah tak terpenuhkan. Rakyat Kelantan sudah tentu mahukan jambatan. Tetapi jambatan per se adalah perkara biasa yang tak perlu dikerumuni. Ia akan siap jika Kerajaan Pusat ada wang dan kemahuan. Itu acara biasa yang tak perlu kepada keriuhan. Yang boleh meriuhkan ialah bila Perdana Menteri bertemu dengan tokoh ulama' di atas kepala jambatan. Seperti apa Tun Dr Mahathir Mohamad lakukan sedikit masa lalu. Jambatan Pasir Mas dirasmikan oleh Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri pada waktu itu. Sebuah sofa untuk Tok Guru Nik Aziz disediakan bersebelahan beliau. Rakyat berderu keluar kerana ia boleh dianggap menarik. Jambatan konkrit itu tidak carik kerana kehadiran Tok Guru. Event semalam tak ada tarikan itu. Tun Mahathir nampaknya lebih cekap menghitung mood rakyat Kelantan.
Pertama teluk kedua pantai
Anak Cina ketimbang madat
Baik baik mengail tenggiri
Adat Melayu menyambut tetamu
Yang berdiri berikan salam pada yang duduk |
|||||||