Demonstrasi bantah 'stupid debate' batal atas tekanan HEP UM
Intan Abdullah
Fri | Jul 20, 07 | 4:43:37 pm MYT

KUALA LUMPUR, 20 Julai (Hrkh) - Demonstrasi aman yang dirancang Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) hari ini di Universiti Malaya bagi membantah program 'stupid debate' terpaksa dibatalkan atas tekanan pentadbir universiti khususnya dari Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (HEP), Tan Sri Dr Razali Agus, kata sumber mahasiswa.

Iklan
 
 
   

Sumber itu yang ditemui di UM hari ini berkata, tekanan yang kuat diterima mereka berhubung rancangan itu adalah punca pembatalan demonstrasi aman yang sepatutnya berjalan selepas solat Jumaat tadi.

PMIUM dalam satu kenyataan pada 18 Julai lalu merancang untuk mengadakan perarakan aman selepas solat Jumaat pada hari ini bagi menyerahkan memorandum bantahan berhubung isu pengajuran program 'stupid debate' yang dijalankan di Kolej Kediaman ke-12 sempena Minggu Interaksi yang lalu oleh pihak pembantu mahasiswa.

Kata sumber, terdapatnya arahan kepada pihak tertentu untuk menghalang perhimpunan itu yang dijangka bermula di Masjid Akademi Pengajian Islam (APIUM).

Dalam pada itu, sumber juga menyatakan bahawa beberapa pensyarah turut diarahkan supaya menghalang mahasiswa daripada mengadakan tunjuk perasaan selepas menunaikan solat di sana.

Ketika di lokasi, kira-kira 200 orang mahasiswa termasuk kakitangan APIUM yang menunaikan solat di sana ternanti-nanti dengan penuh tanda tanya sama ada perhimpunan tersebut akan tetap diteruskan atau sebaliknya.

Namun mereka kelihatan hampa setelah mendapat maklumat ianya terpaksa dibatalkan pada saat akhir setelah mendapat arahan daripada pihak HEP.

Tinjauan mendapati rata-rata yang hadir untuk menyertai perarakan tersebut merupakan mahasiswa yang menghuni Kolej Kediaman ke-12 di mana berlangsungnya aktiviti 'Stupid Debate' untuk mahasiswa baru semasa Minggu Interaksi yang lalu.

Mereka dikatakan hadir bagi menunjukkan rasa tidak puas hati mereka terhadap 'kelonggaran' pihak HEP yang sewenang-wenangnya meluluskan program seumpama itu dijalankan di kolej mereka yang secara tidak langsung mencemarkan nama baik kolej.

Pihak keselamatan juga dilihat mengadakan rondaan dan kawalan di sekitar perkarangan UM bagi memastikan keadaan berada dalam keadaan sebagaimana yang telah diarahkan.

Sebelum ini Harakahdaily telah dimaklumkan bahawa PMIUM telah meletakkan asas bantahan bahasa program itu jelas bercanggah dengan visi kampus serta telah menjejaskan nama baik kampus uniperdana itu.

Menurut jurucakap PMIUM yang enggan namanya disiarkan, tujuan penyerahan memorandum ini adalah bukti kesungguhan PMIUM yang sentiasa sensitif dan peka terhadap sebarang aktiviti yang tidak selari dengan matlamat yang telah digariskan oleh universiti./wann _

 
  Iklan Teks
 

Iklan Di sini. Hanya RM150 seminggu