Kes Nuri : Adakah Najib nak tunggu sehingga Rosmah terlibat? - Salahuddin
Mon | Jul 16, 07 | 3:42:36 pm MYT

KUALA LUMPUR, 16 Jul (Hrkh) - Ketua Pemuda PAS Salahuddin Ayub meminta Timbalan Perdana Menteri Dato' Seri Najib Tun Razak menjelaskan adakah beliau mahu menanti sehingga isteri atau keluarganya terlibat dalam kemalangan ketika menaiki helikoper Nuri untuk mengambil tindakan menggantikan helikopter yang begitu banyak memakan korban itu.

Iklan
 
 
   

"Apa maksud Najib bila beliau mendakwa Nuri masih boleh digunakan? Nak tunggu berapa orang terkorban? Atau nak tunggu sehingga (Datin Seri) Rosmah (Mansor) terlibat dalam kemalangan ketika menaiki Nuri baru hendak menggantikan helikopter pemangsa itu?" katanya.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu menyatakan, beliau amat marah dengan kenyataan Najib yang menyatakan kerajaan memang mempunyai rancangan untuk menggantikan helikopter Nuri milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), bagaimanapun bukan dalam tempoh terdekat ini.

"Ada (rancangan untuk menggantikan helikopter itu), tapi tidak serta merta sebab helikopter itu masih boleh digunakan," kata beliau yang juga Menteri Pertahanan.

Salahuddin mempersoalkan, nahas demi nahas yang melibatkan Nuri bukan sahaja menyebabkan rakyat negara merasa amat malu, malah berada dalam ketakutan kerana tidak merasa yakin dengan tahap kemampuan pertahanan negara.

"Sepatutnya kerajaan serta menteri yang bertanggungjawablah merasa malu dan takut serta bertindak habis-habisan untuk melengkap serta mengemaskinikan peralatan serta kemampuan pertahanan negara.

"Tetapi, apabila menteri berkenaan sendiri menyatakan helikopter yang banyak memakan korban itu masih boleh digunakan, saya tidak yakin beliau mempunyai perasaan," katanya.

Beliau seterusnya mempersoalkan, berapa banyakkah wang negara yang terpaksa dihabiskan "tak fasal-fasal" setiap kali Nuri terhempas?

"Setiap kali Nuri terhempas atau terlibat dengan kemalangan, operasi mencari dan menyelamat (SAR) memakan belanja, menteri nak pergi jenguk tempat kemalangan lagi banyak memakan belanja malah kalau nak disenaraikan satu-satu terlalu banyak," katanya.

Salahuddin menyeru Najib supaya menghentikan tindakan membazirkan wang negara akibat menggunakan helikopter pembunuh itu dan lebih dari itu, "hentikanlah kenyataan-kenyataan" yang menyakitkan hati rakyat.

Bernama melaporkan, operasi SAR untuk mengesan helikopter Nuri Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang hilang telah memasuki hari keempat hari ini.

Operasi yang sehingga ini melibatkan 924 anggota SAR bermula pada 7 pagi ini dengan gerakan tumpuan pencarian diperluaskan melibatkan dua kawasan iaitu di kawasan berbukit di sini dan juga ke Ulu Yam, Selangor.

Operasi udara dan darat bagi mengesan pesawat Sikorsky S-61 dan enam krewnya yang hilang di sekitar kawasan ini sejak pagi Jumaat lepas adalah operasi menyelamat terbesar di negara ini sejak beberapa tahun lepas melibatkan pelbagai pihak berkuasa dan penggunaan lebih 15 buah helikopter dan kapal terbang.

Operasi tinjauan udara itu turut dibantu oleh Tentera Laut Amerika Syarikat yang menghantar pesawat "Sea Hawk"nya selain penggunaan helikopter peribadi Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah serta helikopter unit udara polis dan bomba.

Bagi operasi di darat, ia melibatkan pasukan Komando VAT 69, Pasukan Khas Udara (Paskau), pasukan gerakan khas tentera darat, Jabatan Pertahanan Awam (JPA3), pasukan Senoi Praaq terdiri Orang Asli yang terkenal dengan kecekapan menjejak serta bantuan penduduk sekitar.

Sepanjang tiga hari lepas, anggota operasi SAR di udara menghadapi kesukaran untuk menjejak pesawat itu berikutan jarak penglihatan terhad disebabkan kabus tebal dan diikuti hujan dan angin kencang.

Operasi di darat juga menghadapi masalah apabila bentuk mukabumi kawasan itu menghalang anggota untuk bergerak pantas apabila mereka berdepan dengan hutan tebal yang berbukit dan bercuram.

Selain itu anggota penyelamat juga tidak menerima sebarang isyarat daripada helikopter itu menyebabkan sistem satelit tidak boleh digunakan.

Sekiranya tiada sebarang perkembangan positif menjelang tengah hari ini, jumlah anggota SAR bagi penyelamatan di darat juga akan ditambah, dan yang terbaru sebanyak 50 anggota tentara darat dari Pulau Pinang sedang bersiap sedia untuk membantu.

Difahamkan, enam pegawai dan anggota TUDM yang hilang bersama helikopter itu mampu bertahan untuk tempoh enam hingga lapan hari dengan sumber makanan di hutan.

Semasa kejadian, pesawat Nuri dipandu oleh juruterbang Kapt Nor Azlan Termuzi dan pembantu juruterbang Kapt Nor Intan Asykeen Mohd Arof membawa bersama Sjn Khusnizam Ariffin (kuartermaster udara), Sjn Mohd Azmie Md Yassin, Laskar Udara Kanan Saifulizam Alias dan Laskar Muhammad Ridzuan Ahmad.

Pesawat dalam penerbangan dari Pangkalan TUDM Sungai Besi ke Kuantan apabila dilaporkan hilang setelah terputus hubungan dengan menara kawalan kira-kira 9.35 pagi Jumaat, kira-kira 10 minit setelah berlepas. _

Iklan Premium B Iklan Premium C
Iklan Teks Iklan Di sini. Hanya RM150 seminggu

Iklan Di sini. Hanya RM150 seminggu