| Isu Murtad - Dewan Ulama kesali sikap hipokrit Abdullah |
|
Hassan Mohamood
Fri | Jul 13, 07 | 10:43:30 am MYT |
|||||||
|
“Keluar Islam bukan sesuatu yang tidak boleh dilakukan. Ia pernah berlaku sebelum ini. Untuk sesiapa yang tidak mahu beragama islam lagi, apa yang boleh kita buat?”
Kenyataan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi ini dibuat ketika beliau ditanya wartawan berkenaan isu murtad baru-baru ini. Manakala ketika merasmikan Persidangan Antarabangsa Akademi Islam Fiqh kali ke-18 di Putrajaya, beliau mendesak agar badan-badan agama Islam di bawah kerajaan bertanggungjawab untuk menangani masalah murtad selepas beliau diminta memberi komen tentang masalah kehakiman bagi mereka yang ingin keluar dari Islam. Dari kedua-dua kenyataan yang di keluarkan oleh Abdullah ini memberi gambaran kepada masyarakat umum terutamanya masyarakat Islam bahawa Abdullah sebenarnya tidak pernah konsisten dan bersungguh-sungguh dalam menangani masalah isu murtad di Malaysia. Mana mungkin beliau selaku pelopor kepada ‘Islam Hadhari’ dan juga selaku Pengerusi OIC sanggup mengeluarkan kenyataan yang sebegini janggal dan tidak munasabah ini. Kenyataan sebegini seumpama menipu umat Islam walau sebelum ini Abdullah mendakwa sebagai pembela agama Islam. Melihat kepada kenyataan Abdullah itu, sukar bagi masyarakat umum untuk mengetahui dan menilai pendirian Abdullah yang sebenarnya terhadap isu murtad di Malaysia ini. Adakah beliau sebenarnya mahu menjaga ‘hati’ umat Islam di Malaysia dengan mengabaikan hak bukan muslim atau sebaliknya?. Atau mungkin juga tidak bagi kedua-duanya ?. Bagi Dewan Ulama Pas Pusat, kenyataan–kenyataan Abdullah yang sebegini bukan sahaja tidak mampu membaikpulih keadaan yang telah kucar-kacir sebelum ini, malah akan lebih memberi impak dan implikasi negatif terhadap agama Islam di Malaysia terutamanya dalam menyelesaikan dan menangani masalah-masalah yang timbul sebelum ini contohnya; isu Azalina Jailani, isu Artikel 11 dan isu IFC Sehubungan dengan itu, dalam isu hak dan martabat Islam dan umat Islam, pembelaan ini sepatutnya bukan hanya dalam bentuk kenyataan media semata-mata, tetapi ia hendaklah lebih kepada dalam bentuk pelaksanaan undang-undang yang praktikal dan adil. Bagi kerajaan Malaysia, dalam melindungi hak orang bukan Islam, bukanlah dengan cara mengabaikan dan mencemarkan hak-hak orang Islam. Juga disarankan kepada Abdullah agar lebih bijak dalam berinteraksi di antarabangsa untuk menjaga maruah Islam tanpa menggadaikan dan menjatuhkan martabat Islam di mata masyarakat luar, kerana sikap sedemikian akan membuka laluan kepada pihak musuh Islam dan zionis untuk menguasai umat Islam sehingga ke akar umbi.
Kenyataan Akhbar
|
|||||||