| Calon isteri PM tepati konsep Islam Hadhari? |
|
Maslan Yusoh
Thu | Jun 07, 07 | 3:36:01 pm MYT |
|||||||
|
KOTA BHARU, 7 Jun (Hrkh) - Kerajaan Kelantan dan Dewan Ulamak PAS Pusat merakamkan ucapan tahniah kepada Perdana Menteri Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi yang bakal menjadi 'raja sehari' Sabtu ini.
Sebelum ini perkahwinan Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah dengan Tuanku Zara Salim menarik perhatian ramai kerana tidak menggunakan duit kerajaan, biar pun acara diadakan dengan penuh gilang gemilang. Anggota Exco kerajaan negeri, Dr Nik Mazian Nik Mohamad merakamkan ucapan tahniah di atas perkahwinan pemimpin nombor satu negara, selepas kematian isterinya beberapa tahun lalu. Bagi ulama pula ia sekurang-kurangnya dapat menghindarkan Abdullah daripada fitnah kerana keseorangan sejak sekian lama. "Baguslah kerana Perdana Menteri sudah mengumumkan hari perkahwinannya. Rakyat kasihan melihat beliau keseorangan agak lama. Ini kerana perkahwinan digalakkan dalam Islam bagi mereka yang berkemampuan," kata ketuanya, Dato' Mohamed Daud. Beliau juga berpendapat pilihan calon isteri Abdullah mungkin menepati sebagaimana digariskan dalam Islam Hadhari. Ini kerana katanya, Perdana Menteri sekarang seorang yang mempelopori Islam Hadhari, di mana beliau tentunya cuba memperlihatkan roh Islam dimartabatkan dalam perkahwinan tersebut. "Perdana Menteri mungkin mencari calon isteri menepati ciri-ciri wanita sebagaimana dikehendaki Islam Hadhari," ujarnya. Abdullah akan melangsungkan akad nikah dengan Jeanne Abdullah, Sabtu ini. Jeanne dilahirkan di Kuala Lumpur pada 29 Julai 1953, merupakan anak sulung daripada empat adik-beradik. Mendapat pendidikan di Sekolah Menengah Assunta dan berpengalaman dalam bidang pentadbiran dan perhotelan. Pernah berkhidmat di beberapa hotel terkemuka termasuk Hotel Hilton Kuala Lumpur dan Hotel Pan Pacific. Pernah juga bertugas sebagai pengelola kediaman rasmi Timbalan Perdana Menteri dan Pengurus Kompleks Seri Perdana. Mempunyai dua anak, Nadiah dan Nadene. Dr Nik Mazian pula berkata, isteri Perdana Menteri sepatutnya seorang yang boleh dicontohi dalam pelbagai aspek kehidupan. "Kami berdoa semoga isteri Perdana Menteri dapat berperanan dengan lebih baik dan menjadi contoh kepada masyarakat. Lebih-lebih lagi kerana suaminya dikenali sebagai pelopor Islam Hadhari. "Haluan dan corak konsep itu mungkin boleh diterjemahkan Perdana Menteri melalui pemilihan calon isteri yang terbaik baginya. Ini kerana setiap tindak tanduknya mencerminkan falsafah Islam Hadhari," ujarnya. Oleh itu beliau berharap Abdullah berbahagia dengan isteri baru pilihannya sendiri. _ |
|||||||