| Akhirnya wang yang berkuasa di Ijok! |
|
Tahniah kepada Barisan Nasional kerana berjaya mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri Ijok dengan majoriti yang lebih besar.
Tahniah kepada Parti Keadilan Rakyat serta sekutu pembangkangnya kerana tidak memulaukan pilihan raya kecil Ijok dan berjaya memberi tentangan yang bermakna. Tahniah kepada pemilih Ijok kerana dapat melaksanakan hak dan kewajipan demokratik mereka dan tahniah kerana telah dan akan mengecap nikmat durian runtuh pilihan raya. Tahniah kepada media massa arus perdana kerana berjaya dan berkesan menggembar-gemburkan mesej BN dan menghuru-harakan mesej pembangkang. Tahniah kepada para pengendali laman berita web bebas, para blogger dan pemilik akhbar alternatif kerana gigih memberikan liputan alternatif demi faedah para pembaca di dalam dan luar Ijok. Daripada kenyataan para pembesar BN dan negara, parti-parti pembangkang, aktivis politik, pemerhati bebas pilihan raya, media massa arus perdana dan media massa alternatif, kesimpulan berikut boleh dibuat: 1. Politik wang yang dipersembahkan sebagai politik pembangunan terus menjadi senjata utama parti pemerintah; 2. Parti pemerintah akan melakukan apa sahaja untuk memenangi pilihan raya, khasnya pilihan raya kecil di mana keraksasaan kewangan dan jenteranya boleh digembleng secara besar-besar; 3. Pemilih masih terpengaruh dengan janji-janji yang berbentuk kewangan dan mata benda; 4. Idea-idea sejagat seperti keadilan, kesaksamaan, ketelusan, keterbukaan dan kebertanggungjawaban masih berupa slogan pilihan raya semata-mata. Akhir wang yang berkuasa; 5. Pembangkang, khasnya PKR, terus tidak mampu mengemukakan agenda perjuangan yang difahami dan diyakini umum; 6. Isu-isu peribadi semakin menjadi tumpuan sehingga meminggirkan isu-isu pokok yang menjadi manifesto pilihan raya; 7. Kempen pilihan raya semakin cetek, dangkal dan hambar. 'The dumbing down process' atau proses pendangkalan minda berterusan; 8. Sifat atau ciri munafik/hipokrit semakin menular dan menyerlah dalam semua parti dan di kalangan majoriti mereka yang berkempen. (Seorang Timbalan Ketua Bahagian Umno yang menampilkan wajahnya di Ijok memberitahu saya yang dia kecewa prestasi PKR tidak lebih cemerlang. Katanya dia mahu PKR menang supaya boleh menjadi mesej yang kuat kepada para pembesar BN dan Umno. Tetapi dia menyalahkan PKR kerana tidak pandai berkempen.); 9. Proses pilihan raya, khasnya pendaftaran pemilih dan pengundian, terus menjadi pertikaian; 10. Umno dan majoriti orang Melayu terus bertolak ansur atas nama BN dan dalam proses itu mendedahkan diri mereka kepada kritikan yang semakin meluas; 11. Majoriti orang Melayu terus menyokong calon dari parti-parti komponen BN walaupun beberapa buah daripada parti itu telah secara terbuka mempertikaikan kontrak sosial yang menjadi teras Perlembagaan Malaysia; dan 12. Pengundi Melayu masih boleh terus dipengaruhi dengan mudah walaupun mereka dikatakan semakin canggih dan maju. - kadirjasin.blogspot.com_ |
|||||||