Penyokong KeADILan Jaya Setia diganggu petugas BN daripada keluar mengundi
Saidah Hairan dan Anis Nazri
Sat | Apr 28, 07 | 12:21:46 pm MYT

IJOK, 28 April (Hrkh) - Ekoran bimbang berdepan dengan calon KeADILan, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, petugas-petugas BN didakwa cuba mengugut penduduk Kampung Rantau Panjang, dekat sini, untuk keluar mengundi.

Iklan
 
 
   

Biarpun kampung itu dikenali sebagai kubu kuat BN, yang menyebabkan Timbalan Ketua Muslimat PAS, Dr Lo' Lo' Mohd Ghazali dihalau, baru-baru ini, masih terdapat penduduk yang dipercayai akan menyokong KeADILan.

Ekoran terdesak untuk mencapai kemenangan, penduduk yang dikatakan penyokong BA itu ditakut-takutkan oleh petugas BN dengan menghalang mereka daripada keluar menunaikan hak mereka.

Kejadian serupa berlaku di Kampung Jaya Setia, di mana setakat pagi tadi tidak ramai penduduk keluar mengundi, khususnya di Jalan Damai Kiri, Damai Kanan dan Damai Sentosa.

ImageHarakahdaily dimaklumkan, tindakan petugas BN itu menakutkan penduduk hingga menyebabkan mereka bertindak menghubungi petugas KeADILan untuk dibawa keluar dari rumah mereka untuk mengundi.

Sementara itu, provokasi yang cuba dilakukan Pemuda BN, dipercayai diketuai Naib Ketuanya, Khairy Jamaluddin menyebabkan lima trak FRU dan anggota polis dikerahkan ke pusat pengundian di Sekolah Kebangsaan Jaya Setia, seawal lapan pagi tadi.

Semasa hari penamaan calon tempoh hari, Khairy juga melakukan provokasi awal berdepan rombongan KeADILan, sehingga menyebabkan kekecohan ekoran membaling batu, botol air dan kayu.

Selain FRU dan polis, sebuah helikopter juga berlegar-legar di ruang angkasa Ijok bagi mengawal keselamatan.

Khairy dilihat cuba mengajak pengikut-pengikutnya bersorak ke arah petugas BA, khususnya Pemuda KeADILan, di samping mengeluarkan kata-kata provokasi. Bagaimanapun, petugas BA tidak mengendahkan 'pelawaan' Khairy dan juak-juaknya itu.

ImageDalam pada itu, tinjauan Harakahdaily mendapati petugas BN berdiri begitu hampir di pusat pengundian berkenaan, iaitu tidak sampai 50 meter, dan ini tidak dibenarkan peraturan pilihan raya.

Kira-kira jam 9 pagi Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak, kelihatan memasuki pusat mengundi dengan memakai lencana BN, dan dibantah oleh KeADILan, bagaimanapun SPR tidak mengendahkan bantahan tersebut.

Harakahdaily dimaklumkan, suasana mengundi di kedua-dua pusat pengundian iaitu Sekolah Kebangsaan Jaya Setia dan Sekolah Kebangsaan Rantau Panjang agak muram dan tidak meriah._

Iklan Premium B Iklan Premium C
Iklan Teks Iklan Di sini. Hanya RM150 seminggu

Iklan Di sini. Hanya RM150 seminggu