Rasuah politik mula mencurah di Ijok
Wed | Apr 18, 07 | 7:30:29 pm MYT

KUALA LUMPUR, 18 April (Hrkh) - Belumpun penamaan calon bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Ijok berlangsung, rasuah politik dalam bentuk projek pembangunan telah pun diuar-uarkan pemimpin BN negeri tanpa rasa segan-silu.

Iklan
 
 
   

Menteri Besar Selangor yang juga Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo telah mengumumkan peruntukan segera RM36 juta bagi melaksanakan pelbagai projek pembangunan kilat di kawasan tersebut yang bakal dilaksanakan dalam tempoh dua minggu.

Antara projek yang bakal dilaksanakan adalah membaiki, menurap dan membesarkan jalan, membina longkang dan memasang lampu di jalan utama.

Menurut beliau, semua projek itu akan dimulakan segera dan kontraktor bagi menjalankan kerja-kerja itu juga telah dipilih.

Berucap dalam majlis mesra rakyat dan penyerahan surat kelulusan tanah kepada penduduk beberapa kampung di DUN Ijok di Kuala Selangor, beliau mendakwa kononnya projek pembangunan itu dibuat bukan disebabkan pilihan raya kecil seperti didakwa sesetengah pihak tetapi sebaliknya telah lama dirancang kerajaan negeri.

SPR telah menetapkan esok sebagai hari penamaan calon bagi pilihan raya kecil DUN Ijok manakala pengundian pada 28 April.

Seperti mana biasa, SPR yang tidak mampu mewujudkan suasana kempen yang bersih dari amalan rasuah dan salah guna kuasa memandang sepi pengumuman Khir Toyo itu.

Malah dalam pilihan raya kecil DUN Batu Talam dan Machap, sebelum ini, SPR tidak langsung berperanan menghalang penyalahgunaan jentera kerajaan dan rasuah politik yang dilakukan BN.

Penasihat KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim dalam satu sidang akhbar di Alor Setar, 13 April lalu mahu pilihan raya kecil DUN Ijok dijadikan platform mendedahkan kelemahan SPR dan proses pincang pilihan raya negara.

Kerusi DUN Ijok kosong berikutan kematian Datuk K Sivalingam di Chennai, India pada 4 April lalu akibat sakit jantung.

BN menamakan setiausaha MIC bahagian Tanjung Karang K Parthiban, 38, sebagai calon manakala KeADILan diwakili Bendaharinya yang juga bekas ketua pegawai eksekutif Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Kumpulan Guthrie, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, 61.

Nota: Bagi mempertingkatkan laman ini, kami amat mengalu-alukan sumbangan yang boleh disalur terus kepada akaun Maybank atas nama HARAKAHDAILY DOT COM (564070000336). _

Iklan Premium B Iklan Premium C
Iklan Teks Iklan Di sini. Hanya RM150 seminggu

Iklan Di sini. Hanya RM150 seminggu