Pilihan raya Kecil Ijok: Puncak Niaga sedia rumah TPM dan MB
Saidah Hairan
Tue | Apr 17, 07 | 3:01:27 pm MYT

IJOK, 17 April (Hrkh) - Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor, Dato' Dr Hassan Mohd Ali mendesak Badan Pencegah Rasuah menyiasat dakwaan pembabitan Syarikat Puncak Niaga yang menyediakan penempatan untuk pimpinan tertinggi Umno bagi menghadapi pilihan raya di Dun Ijok (N11).

Iklan
 
 
   

Harakah mendapat sumber bahawa syarikat Puncak Niaga telah menyediakan penempatan khas untuk Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak dan Menteri Besar, Dato' Seri Dr Mohd Khir Toyo di Taman Perumahan kakitangan Puncak Niaga di Bukit Badong, Batang Berjuntai.

Menurut sumber, taman perumahan kelas G pula digunakan untuk menempatkan 38 anggota cawangan khas (SB) dari Bukit Aman.

Katanya, taman itu merupakan kawasan perumahan kakitangan Puncak Niaga Malaysia yang terletak 1.5 km dari loji air sungai Selangor.

Bagaimanapun, tambah beliau untuk masuk ke kawasan taman perumahan itu sukar kerana terdapat anggota polis bantuan yang mengawal ketat dan hanya orang tertentu sahaja dibenarkan masuk.

Rumah yang sudah diubahsuai dengan pemasangan astro dan alat hawa dingin itu telah menelan belanja lebih RM10,000 dan hanya akan digunakan selama seminggu dari hari penamaan calon sehingga hari pengundian pada 28 April nanti.

Sumber tersebut berkata, setakat hari ini TMP masih belum turun ke Ijok tetapi pegawai kanannya sudah ke rumah penempatan yang disediakan jam 10 pagi tadi, 17 April.

Sehubungan itu, Dr Hassan Ali berkata, inilah antara fungsi kroni. Apabila menjelang pilihan raya sudah terhutang budi maka mereka terpaksa melakukan apa sahaja untuk membalas budi.

Menurut beliau, penyelewengan itu merupakan satu tindakan yang tidak bersih dalam sistem pilihan raya di Malaysia.

"Bukan sahaja kerajaan menggunakan kemudahan kerajaan tetapi ia disokong pula dengan kemudahan yang ditaja oleh kroni seperti Puncak Niaga," tegasnya kepada Harakahdaily.

Tambah beliau, penyalahgunaan kuasa Syarikat Puncak Niaga itu jelas tidak bermoral dan inilah yang sebenarnya perjuangan BA (PAS dan KeADILan) untuk membersihkan sistem pilihan raya.

"Dimanakah keadilan kerana Umno sudah melangkah ratusan tapak di depan berbeza dengan PAS yang terpaksa berhadapan dengan pelbagai sekatan," tegasnya.

Beliau berkata, PAS membantah keras tindakan Umno bukan sahaja yang dilakukan di Ijok tetapi di mana-mana pilihan raya kerana sering memperalatkan kakitangan kerajaan dan syarikat kroni untuk memenang pilihan raya. - mns_

Iklan Premium B Iklan Premium C
Iklan Teks Iklan Di sini. Hanya RM150 seminggu

Iklan Di sini. Hanya RM150 seminggu