Tindakan TNC guna pelajar IPT di Machap sungguh jelek!
Zaili Muhammad
Mon | Apr 09, 07 | 2:30:32 pm MYT

MACHAP, 9 April (Hrkh) - Dewan Pemuda PAS Negeri Melaka mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) membantu kempen pilihan raya kecil Machap.

Iklan
 
 
   

Menurut Ketua Pemuda PAS Melaka, Ustaz Kamarudin Sidek, tindakan tidak bermaruah yang dilakukan oleh KPT dengan membantu kempen BN di Machap membuktikan bahawa IPTA telah menjadi satu lagi parti komponen BN.

Image"Sepatutnya pihak KPT memikirkan bagaimana ingin meningkatkan kualiti pencapaian pelajar yang semakin merudum mutakhir ini tetapi rupa-rupanya mereka sanggup diperkudakan oleh BN khususnya Umno," kata beliau.

"Jangan cuba nafikan Umno dah lama buat kerja macam ini, kami ada bukti contohnya jalan kampung boleh disiapkan dalam masa kurang dua minggu sempena pilihan raya Machap sedangkan dah bertahun tak dipedulikan.

"Kami mahu bukan sahaja KPT malah seluruh jentera kerajaan yang digunakan membantu kempen BN dibawa keluar dari Machap dengan segera dan kalau BN ada maruah berkempenlah secara sihat," tegas beliau lagi.

Menteri dan TNC turun berkempen

Semalam KPT mengadakan program Hari Bersama Pelanggan di padang JKKK Bukit Bulat yang dirasmikan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Dato' Mustapa Mohamad dan diiringi Timbalan-timbalan Naib Canselor (TNC) IPTA serta calon BN bagi DUN Machap, Lai Meng Chong.

Mustapa dalam ucapannya mengatakan KPT tidak hanya menumpukan program untuk masyarakat bandar tetapi turut prihatin kepada penduduk luar bandar namun yang hadir dalam program itu ialah TNC IPTA, pegawai HEP dan para pelajar IPTA.

Program bermula 11.00 pagi itu turut disertai dengan pameran yang melibatkan hampir semua IPTA seperti KUTKM, UMT, UMP, UKM, UTAR, UTeM, UTM, UTHM, TARC, UiTM, dan kaunter PTPTN.

TNC sendiri turun berkunjung ke rumah pelajar universiti di DUN Machap bagi memastikan atau mengugut pelajar agar tidak terlibat dalam membantu kempen pembangkang tetapi pada masa sama pelajar diarahkan berkempen untuk BN.

Pelajar perempuan dilihat membantu gerakerja yang diatur oleh Puteri Umno berkempen ke rumah pengundi sementara pelajar lelaki membantu gerakerja Putera Umno atau Pemuda BN yang diangkut dengan beberapa buah bas. - mks._

Iklan Premium B Iklan Premium C
Iklan Teks Iklan Di sini. Hanya RM150 seminggu

Iklan Di sini. Hanya RM150 seminggu