| BN langgar peraturan pilihan raya di Machap: Apa SPR buat? |
|
Apa yang tidak kena di Machap? Tindakan BN yang menggunakan media cetak dan elektronik untuk berkempen sebelum selesai proses penamaan calon pilihan raya kecil N8 Machap sebenarnya menyalahi Akta Kesalahan Pilihan Raya (Pindaan) 2002.
Menurut akta tersebut, kempen pilihan raya hanya boleh dilaksanakan setelah selesai proses penamaan calon dan mesti dihentikan pada jam 12.00 tengah malam sebelum hari mengundi. Bagaimanapun media cetak dan elektronik telah digunakan oleh BN bagi tujuan kempen beberapa minggu sebelum hari penamaan calon. Sebagai contoh, Ketua Pemuda Umno, Hishammuddin Hussein telah melancarkan jentera pilihan paya Pemuda BN DUN Machap pada 30 Mac, lima hari sebelum hari penamaan calon. Bernama melaporkan bahawa pelancaran itu dibuat sebagai mesej untuk memberi kemenangan besar kepada calon BN pada pilihan raya kecil itu. Malah baner dan bendera berlambang BN telah digantung di kawasan pilihan raya kecil BN seminggu sebelum hari penamaan calon. Bukan itu sahaja, tindakan BN memperalat dan menyalahgunakan jentera kerajaan sepanjang kempen pilihan raya berjalan juga perlu ditangani pihak SPR yang setakat ini hanya membisu seribu bahasa. Sekurang-kurangnya dua kementerian telah menyatakan komitmen untuk membantu kempen calon BN. Bernama pada 31 Mac lalu melaporkan kenyataan Timbalan Menteri Penerangan, Ahmad Zahid Hamidi bahawa kementeriannya akan memperjelaskan segala isu yang dibangkitkan pembangkang pada pilihan raya kecil Dun Machap. Menurutnya, adalah menjadi tanggungjawab kementerian untuk memberi penerangan kepada pengundi di kawasan Machap agar mereka tidak terpengaruh dengan isu-isu yang dibangkitkan pembangkang termasuk isu peribadi pemimpin tertentu. "Yang paling tidak menyenangkan hati ialah isu peribadi yang melibatkan beberapa tokoh nasional, negeri dan tempatan. Saya menyeru pengundi di Machap supaya tidak terpengaruh dengan isu peribadi yang dibawa oleh penceramah DAP," laporan Bernama dipetik. Zahid berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat penerangan pilihan raya kecil Dun Machap di Alor Gajah. Sidang akhbar Zahid ini juga disiarkan Warta Perdana, Televisyen Malaysia edisi 31 Mac. Dalam sidang akhbar itu, Zahid menyatakan keyakinan bahawa pengundi di Dun Machap tidak akan terpengaruh dengan isu nasional dan tempatan yang dibangkitkan DAP kerana mereka telah memperoleh "maklumat tepat". "Saya harap kita (pengundi) tidak menukar haluan sebagaimana kita menukar baju dan kekal dengan calon yang dapat memberi pembangunan dan kemudahan kepada rakyat iaitu calon BN," kenyataan Zahid dipetik Bernama. Persoalan yang timbul kini, berapakah kos yang bakal dibelanjakan oleh Kementerian Penerangan khususnya RTM bagi memberikan "maklumat tepat" kepada para pengundi di Machap. Pastinya rakyat perlu diberitahu tentang jumlah peruntukan yang disalurkan RTM dan Jabatan Penerangan kerana para petugas kementerian terbabit dibayar gajinya oleh hasil negara dan cukai rakyat. Berdasarkan peraturan pilihan raya, seseorang calon hanya dibenarkan membelanjakan RM100,000 bagi Dun dan RM200,000 bagi Dewan Rakyat. Adakah gerak kerja penerangan yang dilaksanakan Kementerian Penerangan bagi membantu kempen BN termasuk dalam kos kempen pilihan raya calon BN? Aspek perbelanjaan ini dianggap penting kerana laporan perbelanjaan pilihan raya perlu dihantar kepada Pengarah Pilihan Raya Negeri di dalam tempoh 31 hari selepas tarikh keputusan pilihan raya disiarkan di dalam Warta. Kegagalan untuk mengemukakan penyata perbelanjaan pilihan raya atau kegagalan untuk mengemukakannya di dalam tempoh yang ditetapkan merupakan satu kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954. Satu lagi kementerian yang tanpa segan silu menyatakan kesediaan membantu kempen calon BN adalah Kementerian Pengajian Tinggi. Menterinya, Mustapa Mohamed dalam satu laporan Utusan Malaysia bertarikh 2 April, berkata Kementerian Pengajian Tinggi akan membuat penerangan tentang isu-isu berkaitan pendidikan yang ditimbulkan pembangkang pada pilihan raya kecil Machap. Malah Mustapa tanpa segan silu mengakui akan turun sendiri ke Machap bagi menjelaskan kepada penduduk di sana terutama remaja dan belia tentang peluang pendidikan disediakan oleh kerajaan kepada mereka. “Masih banyak peluang pendidikan terbuka kepada mereka, saya yakin segala kekeliruan yang cuba ditimbulkan pembangkang akan dapat kita jelaskan kelak,” katanya kepada pemberita di majlis pelancaran nama dan logo Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM). Kementerian Pengajian Tinggi bukan sahaja membantu kempen penerangan calon BN, malah dilaporkan turut membuka pusat-pusat pemantauan di seluruh Dun tersebut bagi mengumpul bukti pembabitan pelajar-pelajar IPTA dalam kempen pilihan raya parti pembangkang! Apakah kepentingan program pemantauan itu dibuat selain membazir masa dan tenaga warga kerja IPTA dan mengukuhkan pengaruh BN di kampus-kampus. Penggunaan secara berleluasa jentera dan kakitangan kerajaan dalam kempen calon BN turut membabitkan kerajaan negeri. Ketua Menteri Melaka merangkap Pengerusi BN negeri, Mohd. Ali Rustam dilapor mengarahkan Setiausaha Kerajaan Negeri, Ismail Saleh supaya memastikan kehadiran para pengarah jabatan-jabatan kerajaan semasa majlis perisytiharan calon BN dan hari penamaan calon. Ini tidak termasuk kerahan kepada kakitangan kerajaan negeri dan majlis kerajaan tempatan supaya turut membantu kerja-kerja kempen BN di Machap. bilakah kegilaan ini akan berakhir Sampai bilakah penyelewengan membabitkan kerajaan Pusat dan negeri ini akan berakhir. Adakah SPR akan terus membutakan mata dan memekakkan telinga apabila melihat penyelewengan ini berlaku di hadapan mata. Dalam satu majlis di UTM Skudai tahun lalu, Pengerusi SPR, Abdul Rashid Abdul Rahman pernah mengutarakan kebimbangannya terhadap penggunaan berleluasa jentera kerajaan khususnya RTM dalam membantu kempen-kempen pilihan raya BN. Bagaimanapun kebimbangan beliau itu tidak dipanjangkan dalam bentuk tindakan. Soalnya, adakah kecenderungan BN memperalatkan jentera kerajaan ini sudah menjadi 'warisan negara' yang sukar diubah? Jawapannya pasti tidak. Perdana Menteri Malaya, Almarhum Tunku Abdul Rahman yang juga Pengerusi Perikatan (BN) yang pertama pernah meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri tiga bulan sebelum pilihan raya umum 1959 atas alasan untuk berkempen bagi pihak Perikatan! Tunku mengembara ribuan batu ke seluruh Semenanjung dalam tempoh tiga bulan dengan menggunakan kereta dan belanja sendiri untuk berkempen. Tun Abdul Razak Hussein, Timbalannya ketika itu dilantik menjadi Perdana Menteri menggantikan beliau. Ketika kerajaan Perikatan dibentuk sebaik berakhirnya pilihan raya umum ke-2 negara itu, Tun Abdul Razak menyerahkan surat perletakan jawatannya kepada Yang di-Pertuan Agong. Sejurus kemudian, di majlis yang sama, Tunku Abdul Rahman mengangkat sumpah dan menandatangani watikah perlantikan di hadapan Yang di-Pertuan Agong sebagai Perdana Menteri Malaya bagi tempoh lima tahun lagi! Itulah semangat dan prinsip demokrasi yang ditunjukkan Almarhum Tunku yang sepatutnya dicontohi pemimpin-pemimpin Umno dan BN sekarang ini. Amat menyedihkan jika kita menilai betapa seorang pemimpin berpendidikan Inggeris dan mendukung sistem Wesminster seperti Tunku Abdul Rahman lebih berprinsip, jujur, ikhlas dan berintergriti berbanding Abdullah Ahmad Badawi yang mahu memperkenalkan Islam Hadhari ke seluruh pelosok dunia! Allah SWT sahaja yang Maha Memberi Petunjuk. _ |
|||||||