Umno dan jabatan kerajaan ghairah berkempen di Machap
Tue | Apr 03, 07 | 11:51:14 am MYT

MELAKA, 3 Apr (Hrkh) - Belumpun tiba hari penamaan calon pilihan raya kecil DUN Machap N8, Umno, parti Melayu dalam BN dilihat begitu ghairah berkempen seperti berpesta.

Iklan
 
 
   

Jalanraya di sepanjang jalan Machap sudah mula dibersihkan, rumput telah dipotong, dahan dan pokok tumbang yang menghalang serta boleh menyebabkan kemalangan telah dibersihkan oleh kontraktor pembersihan.

Keadaan jalan yang beralun dan berlubang di sana-sini telah dikorek serta diturap semula, sedangkan sebelum ini kerosakan jalan itu dibiarkan begitu sahaja bertahun lamanya tanpa diambil apa-apa tindakan oleh kerajaan.

Projek melebarkan jalan Machap-Selandar juga telah beroperasi semula setelah sekian lama tergendala, kiri-kanan jalan telah dibersihkan, parit dan longkang sedang digali, tiang elektrik dibaiki atau dicat semula.

Di Bukit Bulat yang menempatkan kompleks Japerun dan juga tempat penamaan calon dipenuhi dengan bendera Umno dan BN seakan yang bertanding kali ini ialah calon dari Umno. Malahan di sekitar DUN Machap jarang sekali kelihatan bendera MCA.

Umno juga memperhebatkan 'gerak-gempurnya' dengan membuka bilik gerakan di Mergong iaitu sebuah kedai yang disewa serta Bukit Bulat yang beroperasi serta-merta dan dipenuhi petugas Umno siang ataupun malam.

Ramai kontraktor mengeluh kerana banyak projek dibuat secara tergesa-gesa dan perlu disiapkan sebelum hari penamaan calon; contohnya projek rekreasi di tepi kolam takungan air Machap secara tiba-tiba dibina walaupun tiada perancangan awal dibuat sebelum ini.

Kenderan Jabatan Penerangan dan RTM dilihat mundar-mandir di Machap, pekerja-pekerja Jabatan Kerja Raya (JKR) bertungkus-lumus, kenderaan tentera juga boleh dilihat di Dun Machap menunjukan BN masih menggunakan jabatan-jabatan kerajaan di dalam kempennya.

Penduduk Kemuning pula tiba-tiba mendapat surau baru dan bakal dirasmikan oleh Ketua Menteri Melaka, Dato' Seri Mohd Ali Rustam malahan dimaklumkan oleh penduduk setempat bahawa pembinaan surau ini dibuat 'secepat kilat' oleh kerajaan negeri.

Begitu banyak projek pembangunan yang dibuat secara tiba-tiba mengejutkan penduduk DUN Machap sehingga ada yang mendakwa semua projek itu tidak akan diperolehi jika wakil rakyat masih hidup!_

Iklan Premium B Iklan Premium C
Iklan Teks Iklan Di sini. Hanya RM150 seminggu

Iklan Di sini. Hanya RM150 seminggu