Misi PAS adalah untuk membela semua kaum - Ustaz Nasharudin
Mohd Sabri Said
Mon | Feb 18, 08 | 4:10:22 pm MYT

GEORGETOWN, 18 Feb (Hrkh) - Malaysia sebuah negara kaya tetapi sengaja membiarkan rakyatnya miskin terutamanya di Pantai Timur yang dianugerahkan petroleum yang menjadi ekspot utama negara, kata, Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa.

Iklan
 
 
   

Kerajaan katanya, bukan sahaja bersikap tidak adil pada masyarakat India dan Cina malahan orang Melayu ekoran terlalu bimbang dengan kebangkitan pembangkang terutamanya PAS yang boleh merubah segala-galanya jika tidak ada campur tangan kerajaan Barisan Nasional (BN) sewaktu memerintah Trengganu dan Kelantan.

"Masyarakat bukan Islam jangan bimbang segala-gala dapat diatasi sekiranya rakyat memberikan mandat kepada kami untuk memerintah. Kita akan wujudkan 'Negara Kebajikan' yang menjadi manesfesto pilihan raya umum ini. Semua bangsa akan hidup lebih aman, damai dan sejahtera berbanding sekarang penuh dengan kebimbangan," ujarnya ketika bercakap merasmikan Konvensyen Kelab Penyokong PAS di Hotel Red Rock, Jalan Macalister, Pulau Pinang kelmarin.

Jelas beliau lagi, kekayaan yang sepatutnya dinikmati oleh rakyat dimonopoli oleh sebahagian pemimpin kerajaan.

Tengok katanya, semasa melancarkan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) di Kedah jutaan ringgit hangus pada majlis perasmian. Selain itu, pembelian kapal terbang Perdana Menteri juga dipertikaikan, komisyen pembelian kapal selam dan kapal terbang Sukhol juga wajar dijadikan contoh.

Jesteru katanya lagi, PAS menawarkan Negara Kebajikan untuk menyelamatkan rakyat daripada disisihkan sama ada daripada mendapatkan hak di bidang pendidikan, kesihatan atau sebagainya.

"PAS cuba buat cara terbaik untuk rakyat kerana selama ini masyarakat dibohongi dengan janji membaiki mutu perkhidmatan serta meningkatkan kualiti kehidupan rakyat oleh BN," jelasnya.

Menurut beliau, pembohongan BN jelas sewaktu permulaan sekolah dulu yang mahu menghapuskan yuran persekolah tetapi akhirnya ibu bapa terpaksa menanggung kos melebihi RM100.00.

Begitu juga jika hendak memasuki Pusat Pendidikan Tinggi Awam atau swasta, semuanya memerlukan kewangan yang banyak. Bertambah pedih Kerajaan sedang berusaha mengswastakan sektor kesihatan, katanya.

"Apa ni, semuanya makin menekan rakyat tidak kira Cina, India ataupun Melayu. Masa tiba pilihan raya mereka turun tapi bila menang hilang entah ke mana," terangnya.

Sebab itu, selain memaparkan Negara Kebajikan PAS juga membawa motto 'PAS Untuk Semua' bagi merealisasikan impian memerintah negara ini di samping mempamerkan kepimpinan yang telus, bijaksana dan bermoral, katanya.

"Rakyat bukan Islam jangan takut untuk memberi undi kepada PAS kerana Islam dapat menyelamatkan semua bangsa dan kaum. PAS yang berlambangkan bulan purnama bukan pengganas sebaliknya Umno yang berlambangkan senjata wajar digelar pengganas," kata beliau.

Konvensyen yang diadakan tiga jam itu juga turut mendapat reaksi dan pandangan daripada ahli kelab dari seluruh negara termasuk dari kelab Iban.

Sebelum Ustaz Nasarudin dijemput merasmikan majlis oleh Timbalan Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional, Dr. Halimah Ali selaku pengerusi pada majlis tersebut, Pengerusi Lajnah, Dr. Mujahid Yusuf Rawa sempat menyarungkan jaket kepada Ustaz Nasharudin sebagai tanda terima kasih.

Sementara itu, Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional, Dr. Mujahid Yusuf Rawa dalam ucapan aluannya mengingatkan perhimpunan (konvensyen) itu sebagai permulaan untuk semua kaum mengatakan ketidakpuasan hati terhadap pemeritah.

Gelombang kebangkitan sokongan rakyat bukan Islam bertambah sengit menjelang piliha raya umum pada 8 Mac depan kerana selain mereka dianaktirikan dalam beberapa isu ia juga memberi ingatan supaya jangan beri undi pada BN sebaliknya pada Barisan Alternatif (BA).

Hadir sama dalam program berkenaan ialah Pesuruhjaya PAS Negeri, Ustaz Saleh Man, Setiausaha Perhubungan, Fadzil Kemi dan Ketua Penerangan PAS Negeri, Haji Halim Saleh dan Pengerusi Kelab Penyokong PAS bangsa cina, Ho Pan Chau. - mns _

Iklan Premium B Iklan Premium C
Iklan Teks Iklan Di sini. Hanya RM150 seminggu

Iklan Di sini. Hanya RM150 seminggu